
BEKAS pengendali Sime Darby FC dan Uitm FC, Ismail Zakaria menyifatkan kegopohan pengurusan membawa masuk pemain baharu dengan harapan ingin meraih kejayaan tanpa memikirkan kantung persatuan antara sebab utama mengapa timbulnya isu tunggakan gaji pemain.
Baginya semua ini tidak akan berlaku seandainya pengurusan persatuan bola sepak itu mengetahui matlamat serta berbincang terlebih dahulu sebelum menandatangani pemain baharu.
“Sikap pengurusan yang gopoh untuk meraih kejayaan dengan membawa masuk pemain dan menawarkan gaji yang melebihi kemampuan tanpa menilai terlebih dahulu seharusnya tidak berlaku.
“Penilaian perlu dilakukan terlebih dahulu oleh jurulatih untuk memastikan kesesuaian dan bukannya mengambil pemain sesuka hati, dari segi gaji pula bagi saya untuk pemain tempatan anggaran bulanan RM50,000.00 adalah harga tertinggi manakala pemain import pula seharusnya tidak melebihi RM80,000 sebulan.
“Pengurusan perlu melihat kepada kantung kewangan mereka, ini anggaran jumlah yang saya fikirkan logik jika dilihat kepada mutu dan kualiti pemain tempatan dan import yang beraksi dalam Liga Malaysia.
“Jika semua ini dipatuhi mustahil isu pembayaran gaji akan timbul walaupun berlakunya pertukaran kepimpinan dalam persatuan,” jelasnya kepada CakapSukan, sebentar tadi.
Mengulas isu semasa membabitkan gaji beberapa pemain Kedah dan kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md. Nor yang enggan menggunakan duit rakyat untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain Lang Merah kerana ia adalah hutang kepimpinan terdahulu, Ismail berpendapat, KFA perlu menunaikan tanggungjawab.
“Tidak timbul hutang tersebut dilakukan kepimpinan terdahulu kerana apabila dilantik selaku Presiden KFA, dia perlu menggalas tanggungjawab tersebut dan sebagai pemain pula mereka ada hak untuk menuntutnya berdasarkan kontrak perjanjian.
“Mungkin KFA boleh mengadakan perbincangan dengan pemain-pemain ini atau menawarkan kaedah pembayaran yang menyebelahi kedua-dua pihak, bagi saya ia tidak mustahil tetapi mereka perlu bertanggungjawab.
“Jangan sampai ada pemain import membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) kerana ia akan memberi kesan negatif landskap bolasepak Malaysia,” ujarnya.
Add Comment