Oleh : MOHD .FARIQ
SUKA atau tidak persatuan bola sepak dilihat masih keliru dalam industri bola sepak.
Zaman kini serba pantas dan bola sepak bukan lagi dilihat sebagai sukan semata-mata sebaliknya mampu menjadi satu industri perniagaan yang cukup stabil.
Namun majoriti pasukan bola sepak di Malaysia hari ini dilihat masih selesa dengan mengharapkan subsidi terutama daripada pihak kerajaan negeri tanpa mengintai mekanisme lain dalam usaha menambahkan kewangan mereka.
Kelangsungan pasukan bola sepak diuji dengan penuh rintangan sebagaimana sebahagian besar daripada mereka sedang bergelut meneruskan survival dalam bola sepak tempatan ketika menempuhi pandemik Covid-19.
Pasukan seharusnya mengambil iktibar apa yang telah berlaku sepanjang pandemik Covid-19 dan mereka harus mencari mekanisme yang lebih relevan bagi formula menambah pendapatan daripada aspek komersial dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, pasukan juga harus menghargai peranan penaja selepas menyaksikan apa yang berlaku selepas wabak
Covid-19 melanda di seluruh dunia di mana seperti nasib seperti pasukan, penaja juga sedang berdepan detik kesukaran yang sama.
Lebih menyedihkan, ada juga cerita kemunculan ‘tangan ghaib’ yang mahu menjadi wira bermain dumba politik, melawan arus penaja, tetapi sebenarnya tidak memberikan sumbangan apa-apa kepada pasukan mereka, hanya ingin jawatan dan “glamour”.
Sikap ini haruslah dibuang dan ingatlah bukanlah tanggungjawab presiden FA sahaja untuk mencari penaja sebaliknya jawatan jawatan tinggi lain termasuk exco-exco yang lain harus memiliki semangat perjuangan sama untuk mendapatkan tajaan buat pasukan mereka sendiri, dan bukan pulak mereka bertanya president soalan lazim dalam mesyuarat, “macam mana dapat tak penaja (sponsor).”
Merujuk artikel Sinar Harian yang bertajuk ‘penaja masih setia hulur tajaan’, penulis secara peribadi menganggap bahawa bola sepak Malaysia memiliki potensi untuk menjadi satu industri untuk menjana ekonomi negara jika semua pihak jujur dan amanah demi bola sepak negara.
Contohi kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini menjadi contoh terbaik dan pujian harus diberikan kepada pemilik, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah berjaya memberikan dimensi baharu perjalanan kelab bola sepak negara.
Tunku Ismail berjaya menjadikan JDT sebagai satu empayar cukup gah dalam dan luar negara di mana penulis percaya pasukan-pasukan lain boleh berbuat demikian jika menjadi skuad Harimau Selatan itu sebagai modul.
Akhir kata, jika tak dapat ikut 100, ikut 30 peratus daripada modul JDT sudah memadai tetapi jika sikap dengki dan cemburu masih menebal di hati, bukan satu perkara mustahil jika ada yang masih di takuk lama, gaji tak terbayar dan macam macam lagi.
Jangan macam macam lagi, ubah sikap, menuju dimensi baru dalam pemikiran, dan bukan hanya nak jawatan semata mata !
(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)
Add Comment