Bola Sepak

Kerjasama kedutaan jadi pemudahcara


IMG-20200725-WA0008

Oleh MOHD. FARIQ

KUASA Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia ke Belgium, Prisheela Prakas memberitahu pihaknya akan membantu Luqman Hakim Shamsudin ketika penyerang muda negara itu melengkapkan proses perpindahan ke KV Kortrijk (KVK) pada bulan depan.

Kata Prisheela, wakil kedutaan negara itu akan memastikan perjalanan Luqman terbang ke bumi Eropah tersebut dalam keadaan terurus dan lebih baik.

Jelasnya, pihaknya turut akan berhubung kelab KVK yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan bagi memudahkan proses visa dan permit kerja pemain yang berusia 18 tahun itu dengan kerjasama pihak kedutaan Belgium di Kuala Lumpur.

“Pegawai kami sedang berurusan dengan wakil Luqman di Kuala Lumpur untuk membantu dalam urusan Luqman ke sini

“Sudah menjadi tangungjawab kami untuk membantu rakyat Malaysia dalam apa jua bentuk pertolongan yang boleh kami bantu mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Dalam hal Luqman, kami akan berhubung dengan kelab KVK di sini untuk membantu memudahkan proses. Kami boleh memudahcara dengan kerjasama pihak Kedutaan Belgium di Kuala Lumpur.

“Ini kerana secara teknikal kami tidak boleh membantu dalam pengurusan visa dan permit kerja kerana proses itu melibatkan kerajaan Belgium dan kelab itu sendiri.

“Kami akan bantu bahagian imigresen dan juga protokol untuk memudahkan apa jua perihal dokumen Luqman di Belgium.

“Kita juga telah membantu rakyat malaysia dalam hal tertentu dalam sektor lain dan kini giliran Luqman,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

IMG-20200725-WA0010

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pihak kerajaan telah memberikan kebenaran kepada Luqman yang telah mendapatkan Perakuan Tingkah Laku (Certificate of Good Behaviour), untuk terbang ke Belgium.

Luqman masih menjalani sesi latihan bersama skuad Selangor 2 biarpun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membuat kenyataan rasmi melepaskan Luqman pada 4 Julai lalu.

Dalam perkembangan sama, Prisheela mengakui berada bangga dengan kejayaan Luqman yang berjaya bermain dengan kelab di Eropah.

Beliau berharap pemergian Luqman ke KVK akan menjadi pintu buat pemain-pemain negara lain untuk berhijrah ke Belgium.

Dalam masa yang sama, Prisheela optimis Luqman yang diberikan kebenaran untuk terbang ke Belgium di bawah kes istimewa, mampu menjadi contoh terbaik dalam usaha mengkomersialkan pemain negara di pentas antarabangsa.

“Kami juga berbangga dan teruja untuk membantu Luqman menjadi pemain Malaysia yang pertama di Belgium.

“Sekarang ini pihak kerajaan belgium Belgium masih belum buka pintu sepenuhnya untuk pelancong masuk ke negara ini.

“Namun mereka telah membuka untuk sektor istimewa seperti diplomat dan kes istimewa di mana isu Luqman berada di bawah kes istimewa,” katanya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d