
KERAJAAN negeri tidak sesekali akan menggunakan duit anak yatim, orang miskin, ibu tunggal, duit untuk sekolah dan duit pembangunan untuk membayar segala tunggakan hutang terdahulu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, isu tunggakan gaji ini sudah lama berlaku pada zaman pemerintahan terdahulu.
“Tetapi isu ini tidak dibangkitkan ketika zaman pemerintahan itu. Isu tunggakan ini bukan hanya melibatkan gaji pemain sahaja, tetapi ada beberapa lagi tunggakan yang pimpinan lepas lakukan.
“Antaranya tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bayaran penyelia tiket pengangkutan.
“Saya tidak akan menggunakan duit rakyat untuk membayar gaji pemain yang tertunggak disebabkan janji yang pimpinan lepas aturkan.
“Adakah peminat-peminat mahu saya ambil duit anak yatim, orang miskin, ibu tunggal, duit untuk sekolah, duit untuk pembangunan untuk bayar segala tunggakan KFA?
“Saya Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan lakukan!” katanya dipetik melalui Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman -UPDA pada sidang media berkaitan isu gaji pemain di Menara Alor Setar petang tadi.
Add Comment