Bola Sepak Semasa

KM18 mahu semua pihak main peranan

Khyril Muhymeen menggesa semua pihak baik pemain, pegawai pasukan, pihak media, dan orang ramai tetap mengutamakan tahap kesihatan dan peka dengan keadaan sekeliling. (Foto : BERNAMA)

PENYERANG Selangor, Khyril Muhymeen berharap saingan Liga Malaysia 2020 yang akan bersambung semula pada 26 Ogos depan dapat berlangsung dengan lancar selain menyeru semua pihak mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) agar tidak lagi berlaku peningkatan kes Covid-19.

Susulan perkembangan semasa kes COVID-19 di negara ini yang dilihat semakin meningkat menimbulkan sedikit kerisauan apatah lagi segala perancangan dan persediaan sedang dilakukan oleh semua pasukan ketika ini bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia.

Justeru, Khyril Muhymeen yang juga dikenali dengan gelaran nama KM18 memaklumkan amat penting untuk semua pihak baik pemain, pegawai pasukan, pihak media, dan orang ramai tetap mengutamakan tahap kesihatan dan peka dengan keadaan sekeliling agar tidak mementingkan diri sendiri yang boleh menjadikan kes wabak Covid-19 bertambah sekaligus menjejaskan sekali lagi perancangan yang telah dilakukan.

“Saya rasa kita semua memang sudah cukup gembira apabila telah dapat kebenaran untuk beraksi semula pada 26 Ogos depan, tetapi itulah sejak akhir-akhir ini terdapat sedikit peningkatan kes dan ia memang merisaukan kita.

“Cuma, apa yang kita boleh harapkan adalah tiada lagi kes positif dalam masa terdekat ini kerana apa jua boleh berlaku yang boleh menjejaskan perancangan pasukan dan sudah tentu, kesihatan semua pihak menjadi keutamaan.

“Jurulatih pun dah tetapkan satu jadual yang cukup padat untuk kami semua, jadi kalau kita semua tidak jaga kesihatan masing-masing dan ambil mudah dengan SOP yang telah ditetapkan, memang rugi sangat kerana kita ingin segalanya berjalan dengan lancar.

“Jadi, saya mohon kepada semua pihak untuk sama-sama patuh kepada perintah kerajaan, bantulah sesama sendiri untuk kita tengok balik aksi bola sepak dengan selamat selepas ini”, jelasnya.

Pemain import Selangor, Rufino Segovia pula sedar dengan situasi yang sedang melanda negara selama ini dan menyifatkan pihak Kerajaan Malaysia sudah melakukan yang terbaik dalam mencegah penularan wabak Covid-19 daripada terus meningkat sehinggalah saingan Liga Malaysia dapat bersambung semula.

Jadi, kini ia menjadi tugas rakyat Malaysia pula untuk membantu dalam memastikan tiada lagi peningkatan kes yang ketara untuk peminat bola sepak dapat kembali menikmati Liga Malaysia, bulan depan.

“Saya memang sentiasa mengikuti berita mengenai Covid-19 dan memang kita dapat tengok kes ada naik dan turun.

“Cuma, kita kena bersyukur apabila sukan bola sepak akhirnya dapat kembali selepas sekian lama dan sudah pasti, kita inginkan yang terbaik untuk Liga Malaysia selepas ini, jadi saya harap kita semua dapat jalankan tanggungjawab masing-masing agar tiada lagi kes serius berlaku selepas ini”, katanya.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: