
WAN Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal sedia mempertaruhkan pengalaman beraksi di Amerika Syarikat (AS) untuk bersaing memikat hati pengendali skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Brad Maloney.
Jelasnya, dia kurang mengetahui mengenai pasukan ini dan hadir dengan fikiran terbuka, Bola sepak adalah universal, saya perlu berlatih di sini sama seperti AS.
“Saya tidak tahu banyak perkara mengenai pasukan ini, saya datang ke sini dengan fikiran terbuka. Saya fikir bola sepak adalah universal, jadi saya perlu berlatih di sini sama seperti di AS.
“(Permainan) di AS lebih kepada fizikal. Saya mahu membantu pasukan dan sudah tentu harapan tinggi diletakkan semua pihak.
“Saya dan abang (Wan Kuzain) pemain yang berbeza. Tapi dia ada katakan kepada saya supaya ambil peluang ini untuk memberikan sesuatu kepada pasukan dan beraksi dengan baik,” katanya ketika ditemui media pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Hari ini merupakan hari pertama Wan Ahmad Kuzri berlatih bersama skuad B-19, selepas menjalani kuarantin selama dua minggu.
Bagi Maloney pula, dia menjelaskan barisan kejurulatihan tidak akan mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi daripada Wan Kuzri buat masa ini kerana sedar pemain itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Dia pemain muda dan saya yakin dia boleh uruskan diri dia. Saya tidak harapkan sesuatu yang terlalu tinggi dari dia, tapi sudah pasti kami akan pantau dia terutama dari segi kecergasan dan kami akan bagi dia masa. Kami harap dia boleh tunjukkan bakatnya,” katanya.
Add Comment