Bola Sepak Semasa

Penantian berakhir

Barisan pemain Uitm FC menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga M.

KETUA jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt, teruja kerana penantian sekian lama untuk melakukan latihan secara kontak dapat dilakukan sejak semalam sekali gus memudahkan perancangan bagi hadapi baki saingan CIMB Liga Super yang dijangka bermula pada pertengahan Ogos atau awal September ini.

Baginya banyak perkara dapat disusun seperti perancangan taktikal dan pemain mampu mendapatkan kecergasan lebih baik dalam tempoh baki empat ke enam minggu lagi yang tinggal sebelum liga kembali bersambung.

Dalam masa sama, beliau juga mengharapkan akan ada lagi satu berita gembira mengenai kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan dalam masa terdekat bagi memastikan pemain tidak terdedah kepada risiko kecederaan.

“ Akhirnya saya rasa lega kerana kami berpeluang mengadakan latihan secara normal, memang ini sesuatu yang ditunggu-tunggu sejak sekian oleh kami.

“ Tempah persiapan selama empat minggu ini (jika liga bermula 15 Ogos), kami akan cuba gunakan sebaik mungkin walaupun memang pasti sukar memandangkan liga sudah berehat lama.

“ Cuma satu lagi aspek yang saya harapkan ialah kebenaran adakan perlawanan persahabatan kerana jika mahu semua pasukan berada di tahap terbaik kami amat memerlukan perkara ini.

“ Jadi saya harapkan dalam masa terdekat, akan ada satu lagi keputusan berhubung perkara ini bagi memudahkan perancangan saya bagi memastikan semua pemain benar-benar bersedia, “ katanya.

UiTM FC antara pasukan yang menjalani Latihan Pasukan Fasa 2 (Latihan Kontak) yang dibenarkan pada semalam selepas mendapat kelonggaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN juga membenarkan Liga Malaysia kembali bersambung pada 15 Ogos ini namun tanpa membabitkan penonton, dan ia perlu dilangsungkan di peringkat negara sahaja.

Sementara itu, pemain sayap UiTM FC, Rabih Ataya, berkata, Liga Malaysia sesuai bersambung pada 1 September dengan tempoh persiapan selama enam minggu dan mengharapkan pasukannya mampu memberikan cabaran sengit kepada pasukan lain selepas menghadirkan banyak kejutan dalam empat perlawanan awal CIMB Liga Super.

“ Sekarang situasi sudah bertambah baik malah kami boleh melakukan latihan dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang,  saya boleh nampak fokus yang cukup baik daripada pemain-pemain.

“ Lima bulan liga tidak berjalan sememangnya sukar untuk semua dan saya harap mereka semua boleh dapatkan prestasi yang baik agar kami boleh cuba kekalkan slot di Liga Super.

“ Tempoh satu dan setengah bulan (enam minggu) adalah waktu baik bagi mulakan kembali liga kerana difahamkan kemungkinan akan ada persiapan pasukan kebangsaan saya (Lubnan) pada Ogos dan satu lagi faktor, tempoh latihan yang lebih panjang untuk pasukan selepas latihan secara kontak, ” katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: