
PELUMBA Monster Energy Yamaha, Valentino Rossi, mengakui sangat gembira apabila saingan MotoGP 2020 akhirnya bersambung semula selepas tertunda empat bulan akibat pandemik Covid-19.
Perkembangan ini disahkan Rossi sendiri dalam kenyataan rasmi pasukan semalam.
Kali terakhir Rossi menunggang jentera motor YZR-M1 miliknya adalah semasa ujian pramusim di Litar Losail, Qatar akhir Februari lepas.
“Akhirnya kami boleh kembali menikmati MotoGP ! Jujur saya cakap, perasaan ini sungguh melegakan kerana saya sudah sangat merindukan M1, dan rasanya peminat juga akan rindu,” ujar juara dunia sembilan kali ini.
Sebelum menjalani minggu perlumbaan di Jerez, Sepanyol, pada 17 hingga 19 Julai ini, penunggang berusia 41 tahun itu sedang menantikan sesi ujian tambahan, hari ini.
Sesi ini dianggap penting sebagai aksi pemanasan para pelumba selepas lama tidak mengendalikan motor MotoGP.
“Kami akan bermula minggu ini dengan sesi ujian percubaan pertama di Jerez. Langkah-langkah yang kami lakukan di Sepang dan Losail pada masa pramusim sangatlah positif, tapi itu sudah lama berlalu,” ujar Rossi, yang dikhabarkan bakal hampiri ke Petronas Yamaha SRT tahun depan.
Jelas The Doctor, mereka harus kembali mengatur segalanya dan bekerja keras untuk memulakan GP Sepanyol dengan semangat dan perasaan yang baik.
“Bagaimana pun, saya siap sedia memulakan musim baru ini bersama pasukan. Kami akan berusaha sebaik mungkin!” katanya lagi.
Add Comment