Bola Sepak Semasa

Patuhi SOP latihan Fasa II

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menegaskan  semua pasukan Liga Malaysia terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan meskipun pihak kerajaan sudah memberi kelonggaran bagi Latihan Pasukan Fasa II (latihan kontak) mulai 15 Julai depan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, pematuhan SOP ini penting dalam memastikan kelancaran perancangan badan pentadbir Liga Malaysia itu untuk menyambung semula saingan liga yang tertangguh sejak 16 Mac lalu akibat penularan wabak pandemik COVID-19.
“MFL amat berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang banyak memberi bantuan dan sokongan kepada usaha MFL bagi memastikan semua pasukan Liga Malaysia boleh melakukan Latihan Pasukan Fasa II selepas latihan Fasa I (tiada kontak) bermula 15 Jun lalu.
“Selain itu MFL turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang sudah menjalani Latihan Pasukan Fasa I dengan cukup berdisiplin dalam mematuhi SOP yang ditetapkan untuk memastikan Latihan Pasukan Fasa II dapat diadakan.
“Ini pastinya satu berita yang amat dinanti-nantikan buat semua pasukan yang berharap untuk memulakan latihan penuh bagi persiapan lebih rapi sebelum saingan Liga Malaysia bermula.
“Justeru, MFL berharap serta memohon supaya semua pasukan mengekalkan disiplin serta komitmen yang tinggi dengan mematuhi garis panduan serta mengutamakan keselamatan dan kesihatan pegawai dan pemain pasukan sepanjang tempoh Latihan Pasukan Fasa II seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Pada masa sama, Ab Ghani turut memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memutuskan tarikh rasmi Liga Malaysia 2020 setelah menerima laporan penuh persiapan untuk penyambungan liga daripada Sekretariat MFL dalam tempoh terdekat ini.
“Banyak faktor perlu diambil kira untuk kita menyambung kembali saingan Liga Malaysia yang tertangguh akibat penularan COVID-19 sejak 16 Mac lalu. Kita perlu memastikan semua pasukan memiliki cukup masa untuk mempersiapkan pasukan supaya kita dapat melihat saingan lebih kompetitif dan berkualiti apabila liga kembali bersambung.
“Kita juga mengambil kira kebimbangan pasukan mengenai risiko kecederaan pemain jika kita tergesa-gesa untuk memulakan saingan liga ketika pemain masih belum bersedia dengan tahap fizikal terbaik.
“Selain itu pasukan harus membuat persiapan rapi bagi venue-venue yang akan bakal digunakan terutamanya dari aspek kawalan keselamatan dan kesihatan seperti proses disinfeksi dan nyahcemar venue perlawanan.
“Semua pasukan digesa untuk menjalankan proses penyelengaraan dan baikpulih padang perlawanan bagi mengelakkan sebarang perkara yang boleh memberi kesan kepada kelancaran penganjuran perlawanan,” katanya.
Sebelum ini, MFL telah merancang meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September dan akan berakhir pada 26-27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: