
OLE Gunnar Solskjaer mengakui David de Gea tidak akan berpuas hati dengan pencapaian diraihnya sepanjang beraksi dengan Manchester United.
Jelas Solskjaer, De Gea mahukan gelaran juara yang lagi besar selepas ini.
Walaupun begitu, De Gea baru sahaja mengatasi rekod Peter Schmeichel sebagai penjaga gawang kedua yang paling banyak bermain untuk The Red Devils.
Warga Sepanyol itu sudah tampil sebanyak 399 kali, dan lebih satu perlawanan berbanding Schmeichel.
Pada perlawanan menentang Southampton di Old Trafford awal pagi esok, De Gea akan menjadi penjaga gawang selepas Alex Stepney yang mencapai 400 penampilan.
Stepney merupakan pemain dengan jumlah penampilan terbanyak untuk Manchester United iaitu sebanyak 539 kali.
Solskjaer yang merupakan pengurus pasukan mengakui dengan jumlah penampilan sebanyak itu, De Gea masih ‘kehilangan’ meraih trofi besar.
Sudah berusia 29 tahun, De Gea kini telah meraih tujuh trofi iaitu gelaran Liga Perdana Inggeris (2012/2013) dan Liga Europa (2016/2017).
Bakinya adalah Piala FA (2015/2016), Piala Liga Inggeris (2016/2017), dan Perisai Komuniti (2011, 2013, 2016).
Untuk peringkat individu, De Gea sudah empat kali muncul Pemain Terbaik Kelab, bahkan lebih banyak berbanding Cristiano Ronaldo.
“Saya rasa dia tidak akan senang sehinggalah memenangi trofi yang lebih besar. Ya, dia sudah memenangi penghargaan individu, tapi David bukan jenis yang peduli dengan semua itu.
“Saya rasa dia juga mahu pasukan menjulang trofi besar. Kekal di Manchester United selama ini dan tidak pernah memenangi sesuatu yang besar adalah sesuatu yang akan dia rasakan sebagai titik hitam dalam kariernya,” kata Solskjaer dipetik BBC.
De Gea baru-baru ini menjadi bualan mulut peminat kerana melakukan kesilapan ketika menghadapi Tottenham Hotspur pada 20 Jun lepas.
Dia gagal menghentikan sepakan Steven Bergwijn yang datang tepat ke arahnya.
Add Comment