
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum menentukan tarikh sebenar saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula walaupun telah mendapat kebenaran dari Kerajaan bermula 15 Ogos nanti.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan tarikh saingan Liga M bermula hanya akan ditetapkan selepas sekretariat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat kajian dan penilaian.
“Jadi saya kira semua penggiat dan penyokong sukan bolasepak negara menyambut berita ini dengan penuh kegembiraan tetapi di peringkat MFL, Liga Super dan Liga Premier saya tidak pasti bila ia akan bermula walaupun kerajaan telah menetapkan 15 Ogos depan kita boleh bermula tetapi tarikh sebenar Liga Malaysia akan ditentukan.
“Kami juga sedia maklum beberapa pasukan masih belum menjalani latihan jadi perkara ini perlu diperhalusi” jelasnya ketika dihubungi CakapSukan, sebentar tadi.
Mohd Yusoff yang juga merupakan Timbalan Presiden MUSA turut memaklumkan , sekretariat MFL akan membuat kajian kesesuaian dan mungkin penjadualan semula, semua faktor akan diambil kira untuk menetapkan tarikh baharu yang sesuai bagi mengadakan atau menjalankan kembali Liga Super dan Liga Premier yang telah tergantung tempoh hari.
“Jadi selepas sekretariat MFL membuat penilaian dan tentu sekali selepas itu mereka akan membawa perkara ini ke pengetahuan Ahli Lembaga MFL untuk memberi persetujuan bila Liga Malaysia 2020 akan kembali bersambung,” ujarnya.
Add Comment