Pelbagai Semasa

Human Voyage selesaikan wang kemenangan LTdL 2020

PENGANJUR jelajah berbasikal Petronas Le Tour de Langkawi 2020, Human Voyage telah menyerahkan wang kemenangan RM823,450  kepada pemenang pemenang melibatkan pelumba dan pasukan yang terlibat pada edisi tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL,  Shahaizereen A Hamid berkata, proses pembayaran dibuat melalui Cycling Prize Management System (UCPMS) Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

“Pembayaran akhir sepatutnya dilakukan menerusi system UCI tersebut dalam tempoh 90 hari selepas tamat perlumbaan namun tertunda susulan pandemic Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia.

 “Transaksi pembayaran kepada pasukan dan pelumba telahpun dibuat dan selesai pada awal bulan ini. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan induk berbasikal Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telahpun dimaklumkan berhubung pembayaran yang telah dilakukan.

“Isu kelewatan pembayaran disebabkan kekangan yang terpaksa dihadapi ketika PKP telahpun diselesaikan selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican baru baru ini.

“Bagi pihak penganjur, saya mengucapkan terima kasih terutama kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal di atas keprihatinan yang diberikan sekaligus membantu kami menyelesaikan isu ini. Terima kasih juga kepada semua pihak yang memahami, bersabar dan memberikan kerjasama yang baik berhubung perkara ini,” ujarnya.

Shahaizereen juga memaklumkan Human Voyage bersedia untuk menganjurkan perlumbaan edisi ke 26 meskipun terdapat ketidakpastian susulan Covid 19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh kerajaan bagi acara sukan antarabangsa.

“Walaupun keadaan semasa yang tidak menentu ketika ini, kami tetap komited untuk menganjurkan perlumbaan pada 2021 tetapi semuanya bergantung pada arahan kerajaan dan SOP,” katanya lagi.

Perlumbaan edisi ke-25 tahun ini adalah berstatus Pro Series dibawah peraturan baru oleh UCI.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: