PERLUMBAAN MotoGP Amerika Syarikat secara rasmi dibatalkan tahun ini.
Pertandingan yang sepatutnya berlangsung di Austin, Texas, itu menjadi tuan rumah kesembilan yang gagal dianjurkan tahun ini.
Pada awalnya, MotoGP akan dilangsungkan pada April lepas. Namun pandemik COVID-19 menyebabkan tarikh saingan dianjak hingga November.
Dalam perkembangan terbaharu ini, Dorna Sports, FIM, dan IRTA memutuskan untuk tidak menganjurkan MotoGP Amerika Syarikat.
Penyebaran virus Corona masih kronik di sekitar Amerika dan persiapan pasukan bertanding semakin sukar dilakukan.
“FIM, IRTA, dan Dorna Sports dengan kesal mengumumkan pembatalan Red Bull Grand Prix Amerika 2020. Selepas sebelum ini ditunda, pandemik COVID-19 yang terus merebak menjadikan situasinya semakin sukar dan dengan berat hati harus membatalkan perlumbaan ini,” kata kenyataan rasmi MotoGP.
Ketika ini Dorna selaku penyelenggara MotoGP dan para promoter sudah mula mengatur jadual perlumbaan untuk musim depan.
MotoGP Amerika Syarikat dirancang akan kembali menemui peminatnya pada April 2021.
Antara perlumbaan yang dibatalkan tahun ini adalah MotoGP Qatar (hanya melibatkan perlumbaan Moto2 dan Moto3), MotoGP Jerman, MotoGP Belanda, MotoGP Finland, MotoGP England, MotoGP Australia, MotoGP Jepun, dan MotoGP Itali.
MotoGP 2020 akan bermula pada 19 Julai di Litar Jerez, Sepanyol.
Add Comment