
Esok Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan memilih Presiden, Naib Presiden I dan melantik Setiausaha Kehormat yang baharu pada Kongres Luar Biasa (EGM) selepas posisi itu dikosongkan hampir dua bulan.
Menurut sumber, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hampir pasti dipilih sebagai Presiden selepas beliau muncul calon tunggal dicalonkan oleh badan gabungan KFA bagi mengantikan Datuk Seri Mukhriz yang meletakkan jawatan pada Mei lalu.
Calon yang turut menjadi tumpuan yang juga legenda bolasepak Kedah, Radhi Mat Din pula dikhabarkan telah dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden bersama seorang lagi calon, Badrulhisham Sulaiman.
Bagaimanapun terdapat ura-ura bahawa Badrulhisham telah menarik diri kurang seminggu dari hari EGM KFA dan menyaksikan kini hanya nama Radhi berada di dalam senarai pencalonan.
Jika benar perkara ini berlaku, hal sama juga menyaksikan laluan mudah buat Radhi untuk menang tanpa bertanding Naib Presiden KFA seperti yang dijangka buat Muhammad Sanusi bagi jawatan Presiden KFA.
EGM KFA dijangka diadakan di Wisma Darul Aman,Alor Setar kira-kira jam 10 pagi dan 35 badan gabungan akan memilih calon-calon berkenaan jika berlakunya pertandingan.
Add Comment