PENGGIAT sukan bola sepak tanah air menyambut baik langkah pihak kerajaan membenarkan kembali kempen Liga Malaysia bersambung semula pada 15 Ogos depan.
Selepas terhenti seketika bulan Mac lepas gara-gara ancaman Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia, kini sudah tiba masanya perjalanan liga tempatan berlangsung di seluruh negara.
Walaupun begitu, kesemua pasukan dan pemain harus mengikut norma baharu dan mematuhi standard prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pelbagai reaksi diterima Cakap Sukan ketika bertanyakan mereka mengenai keghairahan bola sepak yang lama ‘berehat’ beberapa bulan kebelakangan ini.
TEMPO PERMAINAN

Pengendali Merah Kuning, B Sathianathan berkata, tidak risau mengenai kecergasan pemain kerana pasukanya tetap berlatih seperti biasa pada pertengahan Jun lepas.
“Dari segi latihan biasalah dalam tiga minggu ni kita banyak buat kecergasan tak payah ada sentuhan, banyak berlari dengan bola.
“Apabila tak buat sentuhan latihan tiga bulan, pemain agak kekok. Bagaimanapun, kami dalam landasan yang baik, barisan kejurulatihan Selangor gembira kecergasan pemain setakat ini
“Cuma, setahu saya liga bukan bermula 15 Ogos, tapi kena tunggu MFL (Malaysian Football League) umum dan akan bersambung 2 September seperti yang dirancang,” ujarnya.
Pandangan berbeza dilontarkan bekas jurulatih T-Team, Azraai Khor Abdullah yang melihat setiap pasukan akan berdepan masalah dari segi kecergasan.
“Sebagai bekas jurulatih, saya nampak ada sedikit kekangan kerana tiga, empat bulan adalah tempoh lama pemain tidak bersama pasukan dan latihan intensif.
“Masa awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ada pemain buat video sesi kecergasan secara solo di rumah tetapi kini dah ‘hilang’.
“Yang penting, pemain tak boleh ditekan terus bermain bagi mengelak risiko kecederaan. Pemain harus kekal berlatih bagi mengekalkan stamina. Itu lebih mustahak,” katanya setuju pandangan pasukan mengadakan aksi persahabatan sebelum perlawanan sebenar bermula jika dibenarkan kerajaan bagi mencari tempo permainan.
Bagi pengendali UKM FC, Sulaiman Husin pula, memaklumkan skuad bimbingannya kini bersedia dari segi mental dan fizikal.
“Kami sebenarnya telah lama berlatih sendiri, tapi tidaklah secara penuh, tetapi keputusan kebenaran berlatih penuh mulai 15 Julai ini amat dialu-alukan,” ujarnya.
TIDAK SABAR BERAKSI
Tonggak pertahanan Kelantan, Mohd Shahrul Nizam Rosni Hasni menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan penganjuran liga disambung semula, bermula 15 Ogos depan.
“Sebagai pemain, sudah tentu saya berasa sangat lega dan gembira kerana hampir empat bulan liga tidak dapat berjalan akibat penularan Covid-19.
“Pastinya, berita ini ditunggu-tunggu semua pasukan kerana sepanjang tiga empat bulan lalu, pemain hanya dapat menjalani latihan bersendirian di rumah untuk mengekalkan tahap kecergasan.
“Kami perlukan perlawanan kompetitif dan saya harap semua pasukan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan liga ini berjalan lancar,” katanya.
S Veenod yang mewakili Sarawak United pula akui kena kerja keras dan mempersiapkan mental dan fizikal sebaik sahaja liga bermula.
“Hanya tinggal beberapa lagi perlawanan dan kami perlu fokus aksi dalam Liga Premier selepas ini,” jelas tidak sabar turun ke stadium untuk aksi kompetitif.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid tidak melihat tanpa kehadiran penyokong membantutkan kemeriahan liga.
“Sokongan tetap sama. Kita boleh mengaktifkan Page Facebook, perang saraf di laman sosial dan kata-kata semangat buat pemain dan pasukan.
“Kami juga boleh mengikuti siaran langsung di Facebook MFL.
“Denga cara ini kami seolah-olah berada di stadium dan pemain mendapat tonik tambahan semasa perlawanan,” katanya.
Add Comment