Bola Sepak Komentar Semasa

Hamidin nadi FAM

Oleh MOHD FARIQ

SELASA ini, DATUK Hamidin Mohd. Amin bakal meraikan ulangtahun kedua sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menyingkap kembali perjalanan Hamidin sebagai orang No. 1 dalam dunia bola sepak, keupayaan beliau menjadi elemen penting dalam usaha memperkasakan bola sepak tempatan sebelum diangkat menjadi pemimpin badan induk persatuan itu.

Jika melihat sejarah Presiden FAM bermula daripada mantan Perdana Menteri kita, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tan Sri Datuk Hamzah Abu Samah, Almarhum Sultan Ahmad Shah, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan terbaharu, Datuk Hamidin, masing-masing memiliki keunikan dan personaliti tersendiri.

Sudah menjadi lumrah pemimpin harus memiliki hubungan baik dengan semua pihak dan setiap presiden yang disebutkan tadi memiliki hubungan baik dengan pemegang taruh di mana itulah faktor utama mengapa mereka diangkat menjadi Presiden.

Melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tan Sri TPr Annuar Haji Musa di Pejabat Menteri, Menara DBKL, Kuala Lumpur.

Ada segelintir pihak suka bandingkan tetapi sebenarnya masing-masing memiliki kualiti dan aura tersendiri.

Ketika Hamidin dilantik menjadi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada tahun 1995, ada yang mengkritik mengatakan Hamidin yang sebelum itu bertugas di perbankan, dianggap tidak sesuai kerana tak memiliki latar belakang bola sepak yang cukup kuat.

Namun kecintaan dan keghairahan Hamidin terhadap sukan No. 1 negara ini telah terjawab segalanya dan lihatlah pencapaian Selangor ketika beliau menjadi Setiausaha Agung FAS.

Perjumpaan dengan Menteri Belia & Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya.

Kekuatan Hamidin adalah diplomasi dan kebijaksananya, tidak hairan mengapa beliau mampu bertahan di bawah kepimpinan tiga Presiden FAM berbeza bermula Almarhum Sultan Ahmad Shah, Al-Sultan Abdullah dan, Tunku Ismail.

Ada yang mengatakan Hamidin diterima ramai pihak disebabkan faktor senioritinya tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu kerana beliau memiliki karakter lengkap untuk menjadi seorang pemimpin.

Malah beliau juga diangkat sebagai ‘bapa’ kepada sebahagian besar pemain-pemain negara kerana figura bernama Hamidin ini sentiasa berada dekat bersama pemain-pemain bagi memastikan moral mereka dalam keadaan paling terbaik.

Ini kerana pemain-pemain sentiasa mahu mendekati Hamidin yang selalu memberikan nasihat dan galakan positif ketika mereka berdepan kesusahan atau masalah tertentu.

Apa yang pasti, Hamidin telah memberikan kesungguhan jiwa dan raganya lebih daripada 100 peratus kepada sukan yang dicintai sejak kecil.

Menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Dato’ Takiyuddin Hassan di Wisma FAM.

Hamidin pernah berkata: “Penat tiada dalam kamus saya. Setiap hari adalah proses pembelajaran bagi saya dalam dunia bola sepak.

“Jawatan ini adalah besar tangungjawabnya dan saya kena jaga amanah ini.

“Sudah tentu impian saya adalah mahu melihat Malaysia layak ke pentas Piala Dunia pada suatu hari nanti.

“Dan saya tidak pernah lihat ke belakang sejak libatkan diri dalam dunia bola sepak kerana keghairahan dan segala-galanya dalam jiwa saya.”

Ramai pihak percaya bahawa Hamidin merupakan tokoh tepat dalam usaha mengembalikan bola sepak tempatan.

Sepanjang dua tahun menjadi Presiden FAM, kita dapat saksikan banyak perkembangan positif berlaku terutama peringkat pembangunan akar umbi yang semakin menunjukkan potensi tersendiri.

Malah Hamidin juga tidak pernah jemu untuk turun padang dengan menghadiri pelbagai program dan usaha itu seharusnya dipandang serius sebagaimana Hamidin sentiasa berusaha keras dapat melibatkan diri dalam berbagai aktiviti.

Bagaikan jauhari mengenal manikam, Hamidin memastikan setiap proses bermula daripada pihak pengurusan, pentadbiran, pembangunan akar umbi sehingga pasukan kebangsaan berada dalam landasan sepatutnya.

Apa yang pasti, tahniah kepada Hamidin yang menyambut ulang tahun kedua sebagai Presiden FAM dan sudah pasti harapan serta doa penulis sama seperti penyokong-penyokong lain adalah mahu menyaksikan Harimau Malaya kembali mengaum di pentas antarabangsa.

— SINAR HARIAN–

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: