
SELEPAS ini, kita akan menyaksikan ‘kelahiran’ Safiq Rahim yang baru dalam arena bola sepak Harimau Malaya.
Pemain yang penulis maksudkan adalah Zachry Raiff Ghazie Yeoh yang berusia 18 tahun yang kini bermain bersama kelab Brooke House Football Academy di England.
Ramai peminat mungkin tertanya-tanya siapa Zachry Raiff ini dan apa keistimewaan hingga boleh digelar pengganti Safiq.
Baik, bagi yang terlepas informasi, Zachry Raiff sebenarnya telah mendapat panggilan untuk menjalani latihan dengan skuad bola sepak negara Bawah 19 Tahun di bawah kelolaan Brad Maloney.
Jangan terkejut jika penulis dedahkan dia pernah memenangi program Mencari Ramli untuk kategori Bawah 14 tahun pada 2016.
Menurut ejen Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar, Zachry baru sahaja tamat pengajian dan sedang menunggu kemasukan ke peringkat universiti.
“Dia kembali ke sini sementara tunggu kemasukan ke universiti dan mendapat panggilan untuk Kem Latihan Pusat B-19 Tahun di Wisma FAM.
“Ramai kata dia ni mirip Safiq Rahim. Dengan gaya kawalan bola, bijak mencari ruang, hantaran tepat dan ketenangan dalam padang memang mirip Safiq Rahim.
“Zachry berpangkalan di England dan bermain Brooke House Football Academy dari tahun 2018 hingga sekarang.
“Cuma tahun lepas dia balik untuk cuti musim panas dari Jun hingga September.
“Dan kelab PJ City ada tandatangan selama tiga bulan semasa jendela kedua perpindahan pemain untuk pasukan Piala Presiden,” katanya kepada Cakap Sukan.
Faidauz yang bertanggungjawab menguruskan Zachry Raiff optimis boleh pergi lebih jauh dan menunjukkan prestasi terbaik untuk negara.
“Tidak dinafikan dia perlu bersaing sengit pemain lain di posisi tengah. Ada ramai pemain berkualiti tapi saya percaya Zachry akan berusaha bersungguh-sungguh bagi merebut slot idamannya.
“Apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah menggunakan sepenuh pengalaman bermain di England dan buktikan kepada pengurusan B-19 dia layak untuk sarung jersi pasukan kebangsaan,” ujarnya.
Info:
Zachry Raiff Ghazie Yeoh
Umur 18 tahun
Kelab: Brooke House Football Academy ( England )
Posisi : Midfield
Idola : Andres Iniesta
[ Menang program Mencari Ramli untuk kategori bawah 14 tahun pada 2016 ]
Add Comment