Uncategorized

Selangor dalam perancangan mulakan sesi latihan bulan depan


Pasukan Selangor belum lagi mengadakan sebarang sesi latihan seperti digembar-gemburkan. Foto : FA Selangor

Oleh MOHD FARIQ
(Penulis sukan bola sepak lebih 20 tahun)

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon mendedahkan pihaknya masih berada dalam perancangan untuk mengadakan sesi latihan pasukan pada bulan depan.

Terdahulu, Selangor dikatakan memiliki perancangan untuk mengadakan program latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan kerajaan dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.

Perkhabaran itu sekali gus mencetuskan desas-desus kononnya pasukan bimbingan B. Sathianathan telah mula turun menjalani program latihan.

Mengulas lanjut, Johan menafikan kenyataan tersebut dengan menegaskan pasukan Selangor tidak mengadakan sebarang sesi latihan sebaliknya menyifatkan kenyataan itu lebih kepada gambaran skuad Gergasi Merah mahu mengadakan persiapan lebih awal jika Liga Malaysia (Liga-M) disambung dalam masa terdekat.

Ini kerana Johan menegaskan FAS tetap akan mendapatkan khidmat nasihat daripada kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum melaksanakan program latihan pasukan Selangor.

“Itulah perancangan Selangor tetapi buat masa ini, skuad Selangor masih belum mengadakan sesi latihan dan saya fikir program latihan Selangor mungkin berjalan selepas perayaan Aildilfitri nanti.

“Bagaimanapun itu hanyalah perancangan awal sahaja di mana FAS tetap akan meminta nasihat dan saranan daripada pihak berkuasa di atas kesesuaian Selangor untuk meneruskan program latihan ini mengikuti SOP yang diarahkan.

“Ini sebagai salah satu persiapan awal Selangor dalam usaha memastikan tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan terbaik jika Liga-M disambung dalam tempoh terdekat nanti,” katanya.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendedahkan pihaknya tidak memiliki kuasa untuk membenarkan atau menyekat mana-mana pasukan yang mahu mengadakan latihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Itulah yang diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan segala kelulusan hanya boleh dibuat oleh kerajaan menerusi kementerian atau agensi berkaitan seperti MKN.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d