Malang berganda, After Image tarik diri urus pasukan Kelantan

SUDAHLAH dibelenggu masalah hutang lapuk, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus ditimpa malang berganda apabila After Image Sdn Bhd, entiti yang bertanggungjawab menguruskan pasukan bola sepak Kelantan musim ini mengumumkan menarik diri berkuatkuasa serta-merta.

After Image Sdn Bhd merupakan pemegang taruh terbesar Team Red Warriors Sdn Bhd (TRWSB), sebuah syarikat berasingan yang ditubuhkan dan juga rakan kongsi pasukan pantai timur itu, pada musim ini.

Perkhabaran buruk itu diumumkan sendiri Pengarah Urusannya, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari menerusi laman sosial peribadinya, lewat petang ini.

“Selepas membuat penelitian secara mendalam dan berfikir panjang saya dengan berat hati telah membuat ketetapan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn. Bhd selaku entiti yang bertanggungjawab mengendalikan pasukan Kelantan FA musim 2020.

“Perletakkan jawatan itu juga secara tidak langsung menyaksikan After Image Sdn. Bhd sebagai pemegang taruh terbesar dalam TRW Sdn. Bhd turut menarik diri sebagai rakan kongsi rasmi pasukan,” katanya.

Jelas Wan Rakemi, keputusan tersebut bukanlah dibuat secara ‘semberono’ sebaliknya mengambil kira pelbagai perkara aspek dan perkembangan terkini keadaan dunia termasuklah penularan wabak pandemik Koronavirus (Covid-19).

“Saya akui Covid-19 telah memberikan impak besar pada dunia bukan sahaja pada kehidupan harian malah ekonomi juga apatah lagi sukan bola sepak,” katanya.

Surat perletakan jawatan Wan Rakemi yang viral di media sosial hari ini.

Menurut beliau lagi, Kelantan bergantung sepenuhnya kepada kutipan tiket, jualan jersi dan tajaan untuk menggerakkan pasukan.

“Namun sejak saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan, kantung kewangan pasukan makin ‘kering’.

“Bukan sahaja kering, malah masih banyak lagi hutang lama pasukan yang belum diselesaikan,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, situasi tersebut membuatkan After Image sudah tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab itu dalam keadaan suasana tidak menentu dan aliran tunai sangat kritikal ketika ini.

Pada masa sama, Wan Rakemi juga mengumumkan peletakkan jawatan beliau sebagai Exco Eksekutif KAFA penggal 2019-2023, Bendahari dan Pengurus Pasukan TRW 2020.

“Hasrat dan impian untuk melihat TRW2020 kembali gemilang seperti sebelum ini terpaksa ditangguhkan, dan saya berharap ianya akan dapat diteruskan.

“Saya pohon kemaafaan kepada semua penyokong setia TRW. Terima Kasih juga kepada barisan kepimpinan KAFA dan semua yang terlibat dalam memajukan Kelantan,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: