Nasib Kelantan FA bagai jatuh ditimpa ditangga

Oleh MOHD FARIQ
(Penulis sukan bola sepak lebih 20 tahun)

DAHULU gah, kini rebah.

Pahit untuk ditelan tetapi itulah realiti yang berlaku kepada bekas salah satu pasukan gergasi tanah air, Kelantan yang semakin hari semakin pudar bukan sahaja dari segi kemerosotan prestasi tetapi juga terpalit dengan masalah kewangan kronik.

Terbaharu, ralat dan sedih itu timbul selepas menyaksikan juara treble 2012 ini memohon penyokong-penyokong mereka menghulurkan bantuan kewangan dalam usaha menyelesaikan isu pembayaran gaji bekas pemain import, Casio Francisco De Jesus sebanyak RM629,620.28.

Jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal berbuat demikian, tindakan tegas daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menanti mereka.

Bagai jatuh ditimpa ditangga, mungkin pepatah itu sesuai dikaitkan dengan KAFA sekarang apatah lagi Liga Malaysia (Liga-M) kini terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.

Usaha KAFA untuk mencari dana tambahan juga agak terhad selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menyukarkan pihak persatuan untuk mendapatkan sumber kewangan.

Masalah yang dihadapi KAFA seharusnya dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua pasukan Liga-M bahawa bola sepak tempatan perlu bergerak menjadi satu industri, bukannya bergantung semata subsidi dalam usaha mengekalkan survival kelab mereka.

Isu masalah tunggakan gaji sebenarnya bukanlah satu masalah baharu timbul dan perkara ini sentiasa menjadi subjek di dada akhbar dan laman media sosial saban tahun.

Bukan sahaja Kelantan, satu pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air juga dikatakan masih gagal membayar tunggakan gaji pemain dan mungkin tidak keterlaluan ada lebih banyak lagi masalah tunggakan gaji kekal berlaku disebabkan survival pasukan masih bergantung kepada bantuan daripada pihak kerajaan negeri.

Jika persatuan atau kelab negeri masih tidak bergerak ke arah revolusi perniagaan dan masih kekal bergantung kepada subsidi kerajaan negeri, jangka hayat mereka tidak boleh bertahan lama kerana contohnya telah berlaku kepada pasukan-pasukan sebelum ini.

Ini kerana masalah-masalah tunggakan gaji pemain jurulatih yang selalu terjadi disebabkan pertukaran pemerintah kerajaan negeri sekali gus memberikan kesan kepada barisan pemain dan jurulatih dan sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan negeri jelas menunjukkan keputusan tidak begitu bagus jika persatuan negeri atau kelab masih berdegil untuk memperkasakan industri perniagaan bola sepak mereka sendiri.

Justeru, persatuan negeri dan kelab seharusnya mencari formula untuk menambah pendapatan dan tidak salah mereka berbelanja ala kadar demi memastikan survival kelab terjamin asalkan mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan negeri.

Kata orang, kalau takut ombak jangan berumah di tepi pantai. Jadi, persatuan negeri dan kelab disarankan lebih proaktif dalam menangani masalah tunggakan gaji ini dan lebih manis jika mereka tidak melibatkan penyokong-penyokong setia khususnya memohon sumbangan daripada orang ramai.

Ini kerana sebagai salah satu persatuan atau kelab berstatus profesional, mereka seharusnya menjadi contoh terbaik kepada kelab-kelab lain terutama pasukan berstatus amatur dalam usaha membangunkan pembangunan Liga-M berdaya saing tinggi.

Leave a Reply

%d bloggers like this: