Pak Long Hafizal ‘gian’ buat ulasan sukan

PANDEMIK Covid-19  belum tentu bila bakal akan sampai ke noktahnya.Ia memaksa pelbagai acara sukan tempatan mahupun antarabangsa terpaksa ditangguhkan.  

Bola sepak, tenis, motoGP, formula satu mahupun temasya sukan berprestij lain di dunia terpaksa dibatalkan termasuklah babitkan siaran langsung menerusi pelbagai saluran sukan segenap benua.

Suasana suram dan muram arena sukan ini turut terkesan dihati personaliti Astro Arena Hafizal Hamad yang sentiasa menghiasi arena sukan negara dengan celoteh spontan serta ulasannya di kaca televisyen.

Katanya, itulah hakikat sebenar yang harus diterima dan ditelan buat masa ini oleh peminat dan warga sukan meskipun dia sendiri tidak dapat menyembunyikan rasa rindu untuk kembali bertugas.

“Pastinya sukan bola sepak paling saya rindu untuk menganalisis kerana dikala permulaan saya dalam bidang pengacaraan, bolasepak adalah sukan pertama yang menjadi tugasan saya. Saya mula menjadi pengulas dan pengacara sukan sejak  tahun 2005 lagi , tapi kini hidup seperti ada yang tidak lengkap. 

“Kadang-kadang apabila mula terasa ‘gian’ saya mula merapu dan mengulas seorang diri tak kira di dalam bilik air atau ketika memandu seperti sedang menyaksikan perlawanan bolasepak sebenar,” katanya tersenyum.

Walau bagaimanapun, rindu untuk mengacara dan mengulas sedikit terubat apabila diberi tugasan untuk mengendalikan rancangan Bola@Mamak dari rumah.

“Sesuatu yang tidak pernah terlintas difikiran untuk bertugas dari rumah namun ia satu pengalaman yang menyeronokan. Segalanya harus dirancang dengan sendiri dan saya juga perlu mengikuti perkembangan bola sepak dengan penuh teliti agar segala topik menjadi bahan menarik untuk dibincangkan.

“Biarpun bola@mamak bersiaran secara dalam talian namun peminat yang mengikuti dan menonton hampir mencecah 120 ribu penonton pada satu episod. Angka itu menunjukan bersiaran secara dalam talian juga mampu menarik peminat,” katanya.

Hafizal yang lebih dikenali dengan panggilan Gaban oleh rakan-rakan turut berterima kasih dengan pasukan penerbitan diketuai Slamet Sazly Yakub disamping otai bola@mamak yang turut sama membantu seperti Izahar Atan, Datuk Richard Scully dan Asmawi Bakiri.  

“Saya juga ingin berterima kasih kepada peminat bola@mamak yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan rancangan ini sehingga mencatat 18 juta tontonan pada musim lalu. Biarpun bersiaran secara dalam talian ketika ini saya berjanji akan sentiasa berusaha memberikan sajian terbaik buat anda semua,” katanya.

Beliau juga turut mengharapkan wabak Covid-19 ini segera berakhir dan kemeriahan sukan kembali seperti sediakala.

“Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan temasya terbesar dunia, Olimpik Tokyo akan ditangguhkan ketahun hadapan termasuk juga Kejuaraan EURO serta acara sukan berprestij antarabangsa yang lain terhenti. Dua senario ini menjelaskan betapa bahayanya pandemik ini hingga memaksa sukan dunia terpaksa akur. 

“Saya berharap semua orang untuk megikuti arahan di mana kesihatan menjadi keutamaan. Buat masa ini amat bahaya untuk menyambung aktiviti sukan dalam masa terdekat, lebih baik untuk menunggu berbanding mangambil risiko,” katanya.

BOLA@MAMAK
BERSIARAN SECARA LANGSUNG DI FACEBOOK ASTRO ARENA
SETIAP KHAMIS, 3.00PTG

INFO
NAMA: HAFIZAL HAMAD
UMUR: 41
TARIKH LAHIR: 5 JANUARI 1979
ASAL: KULIM, KEDAH
ANTARA LIPUTAN DAN ANUGERAH:
SUKAN OLIMPIK BEIJING 2008
SUKAN OLIMPIK RIO 2016
PIALA DUNIA AFRIKA SELATAN 2006
4 TEMASYA SUKAN ASIA
5 TEMASYA SUKAN SEA
ANUGERAH PENGULAS SUKAN TERBAIK SERI ANGKASA 2011
DARJAH PINGAT:
DARJAH AHLI MAHKOTA PAHANG OLEH ARMARHUM SULTAN HJ AHMAD SHAH 
PINGAT BINTANG KHIDMAT TERPUJI OLEH TYT YANG DIPERTUA NEGERI MELAKA

Leave a Reply

%d bloggers like this: