
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) memilih menfailkan rayuan untuk mengetepi dan membatalkan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung arahan badan induk bola sepak dunia bagi menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain import, Casio de Jesus.
Perkembangan terkini tersebut dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menerusi laman sosial peribadinya, lewat petang ini.
Dalam kenyataan itu, KAFA turut memohon penangguhan pembayaran denda sehingga keputusan rayuan diputuskan namun CAS masih belum memutuskan sama ada permohonan mereka dibenarkan atau sebaliknya.
“Sekiranya dibenarkan maka KAFA diberi tempoh untuk membuat bayaran sehingga keputusan tersebut diputuskan seandainya rayuan pihak KAFA ditolak,” jelas kenyataan beliau lagi.
Baru-baru ini, FIFA mengarahkan KAFA menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji pertahanan import Brazil itu berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh 30 hari berkuatkuasa 23 April lalu.
Susulan arahan tersebut, KAFA bertindak melancarkan kutipan derma atas talian bermula 9 Mei lalu dengan menagih sumbangan orang ramai khususnya penyokong bola sepak negeri itu untuk membantu melunaskan tunggakan gaji itu.
Bagaimanapun, derma atas talian bertemakan Selamatkan Bola Sepak Kelantan itu hanya mampu mengumpul RM12,400 setakat jam 12 tengah hari ini.
Sekalipun mendapat sambutan orang ramai termasuk daripada negeri-negeri lain namun kutipan tersebut jauh lebih rendah daripada disasarkan ketika KAFA sendiri semakin kesuntukan masa sebelum tarikh akhir pembayaran kepada Casio.
Ahmad Muzakkir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penaja KAFA bagaimanapun yakin tabung berkenaan akan terus mendapat sambutan daripada penderma sekiranya rayuan mereka diterima oleh FIFA.
Add Comment