BAM susun semula barisan kejurulatihan senior, Hendrawan dilantik ketua jurulatih, Seu Bock pembantu

Kenyataan rasmi BAM,hari ini.

DALAM usaha membentuk skuad mantap, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah memutuskan untuk menyusun semula barisan kejurulatihan sebagai persediaan pembinaan pasukan kebangsaan.

Bahagian perseorangan lelaki akan menyaksikan kepulangan Hendrawan sebagai ketua jurulatih dan Datuk Tey Seu Bock sebagai pembantunya.

Menurut Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, duo berpengalaman ini mempunyai rekod prestasi bagus ketika membimbing Datuk Wira Lee Chong Wei untuk meraih pingat perak di Olimpik Rio pada tahun 2016.

“Pembantu Hendrawan, Indra Widjaja akan diberi tugas untuk memimpin jabatan perseorangan wanita, di samping Loh Wei Sheng. Indra Widjaja hadir dengan banyak pengalaman dan pengetahuan kerana dia pernah melatih pasukan kebangsaan Korea sebelum hadir di Malaysia pada tahun 2016.

“Bahagian beregu lelaki akan diketuai oleh pakar beregu, Flandy Limpele. Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens 2004 itu berperanan dalam membentuk kejayaan beregu lelaki India: Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy, memimpin mereka berada di kedudukan ke-10 teratas dunia tahun lalu. Flandy akan dibantu oleh Rosman Razak dan Hoon Thien How,” katanya menerusi kenyataan media sebentar tadi.

Bekas pemain beregu kebangsaan, Chan Chong Ming akan mengambilalih mengendalikan bahagian beregu wanita.

Pemenang pingat gangsa Kejuaraan Dunia dua kali (2001 & 2005) dan juara Terbuka Malaysia 2006 itu akan disokong oleh Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty.

“Kami berharap kedua-dua ketua jurulatih baru ini dapat memulakan tugas pada 15 Jun 2020, tetapi rancangan ini tentunya tertakluk kepada keputusan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengenai latihan yang dibenarkan. Dalam kes Flandy Limpele, kedatangannya ke Malaysia juga akan bergantung kepada peraturan pemerintah yang mengizinkan orang asing memasuki negara ini.

“Sebagai langkah untuk meningkatkan kekuatan beregu campuran, Paulus Firman akan ditugaskan untuk menghidupkan kembali jabatan itu bersama dengan pembantunya, Teo Kok Siang. Semua pelatih ini akan terus melapor kepada Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann,” ujarnya lagi.

Tambah Norza, sebagai Presiden BAM, menjadi harapannya agar perubahan ini dapat meremajakan pasukan kebangsaan dan memotivasi para pemain untuk menggunakan jangka masa yang panjang untuk mempersiapkan diri ke final Piala Thomas dan Uber.

Katanya, pertandingan itu akan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober 2020 dan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

“Kami di BAM akan terus mencari jalan memperkuatkan pasukan dalam membantu skuad yang masih muda untuk merealisasikan potensi penuh mereka dan akhirnya, menjadikan mereka kebanggaan negara,” katanya.

Senarai Rombakan Kejurulatihan BAM yang terbaru adalah seperti berikut :

Perseorangan Lelaki
Hendrawan (Ketua Jurulatih)
Tey Seu Bock

Perseorangan Wanita
Indra Widjaja (Ketua Jurulatih)
Loh Wei Sheng

Beregu Lelaki
Flandy Limpele (Ketua Jurulatih)
Rosman Razak
Hoon Thien How

Beregu Wanita
Chan Chong Ming (Ketua Jurulatih)
Chin Ee Hui
Wong Pei Ty

Beregu Campuran
Paulus Firman (Ketua Jurulatih)
Teo Kok Siang

Leave a Reply

%d bloggers like this: