
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akhirnya menekan butang panik apabila terpaksa membuka derma atas talian dengan menagih sumbangan orang ramai khususnya penyokong setia Team Red Warriors (TRW) bagi menyelamatkan bola sepak negeri itu.
Perkembangan terkini tersebut hadir selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan KAFA membayar tunggakan gaji bekas pemain import, Casio Francisco De Jesus berjumlah RM 629,620.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pihak tidak mempunyai banyak masa setelah diberi tempoh 30 hari bermula 23 April lalu untuk menyelesaikan tuntutan bekas pemain import Brazil itu.
“Tambahan pula Liga Malaysia (Liga M) direhatkan kerana wabak pandemik Covid-19 dan kini berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyukarkan pihak persatuan untuk mendapat sumber kewangan yang mencukupi membayar tuntuntan sejumlah tersebut.
“Ditambah lagi segala urusan niaga bersama rakan kongsi termasuk jualan jersi terhenti dimasa ini dan bakal penaja yang dijadualkan akan bersama kita Jun ini juga mengambil langkah berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru itu, kata beliau, KAFA memohon bantuan orang ramai terutama peminat dan penyokong bola sepak Kelantan
untuk menderma kepada badan induk bola sepak negeri itu seberapa yang mampu secara atas talian (online) bagi membolehkan mereka membayar segala tuntutan yang diarahkan oleh FIFA.
Ujar Ahmad Muzakkir lagi, sekiranya KAFA tidak dapat menjelaskan tuntutan yang telah diarahkan oleh FIFA, ia akan merumitkan persatuan untuk membentuk pasukan bersaing di Liga Perdana dan berkemungkinan mereka akan dikenakan tindakan lebih berat.
“Dengan rasa rendah diri, KAFA merayu serta menagih simpati pada semua untuk membantu dalam hal ini demi pasukan kesayangan kita.
“Bantulah KAFA dengan seada dan
semampunya,” jelasnya lagi.
Bagi peminat dan penyokong bola sepak TRW, mereka boleh menghulurkan sumbangan menerusi atas talian ke nombor akaun Maybank 5530 1063 0676.
Pihak KAFA akan memaklumkan jumlah kutipan dari masa ke semasa kepada
penyokong dan resit derma juga boleh dihantar melalui aplikasi WhatsApp ke nombor 013-928 3293.
Add Comment