Uncategorized

Pulau Pinang boleh laksana aktiviti sukan mulai 13 Mei ini

AKTIVITI sukan yang boleh dilaksanakan di negeri Pulau Pinang mulai 13 Mei 2020 kelak akan bersandarkan kepada pematuhan SOP yang diputuskan pelaksanaannya di dalam fasa ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’.

EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee berkata, ia adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 3 Mei lepas mengenai aktiviti sukan di negeri Pulau Pinang.

“Aktiviti-aktiviti sukan tersebut ditetapkan berdasarkan kepada keputusan mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh saya dengan penglibatan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang pada 4 Mei 2020 bagi membincangkan pelaksanaan aktiviti sukan di Pulau Pinang dalam fasa ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’.

“Setelah mengumpul pandangan dan cadangan daripada agensi-agensi berkenaan serta mengambilkira keselamatan rakyat Pulau Pinang, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuat keputusan seperti berikut.

“Semua stadium dan kompleks sukan di bawah kendalian Pihak Berkuasa Tempatan iaitu MBPP dan MBSP, serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kekal ditutup bagi kegunaan orang awam dalam fasa ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’. Ini termasuk:

a) Stadium Bandaraya (MBPP)
b) Kompleks Sukan Balik Pulau (MBPP)
c) Kompleks Sukan Bandaraya Relau (MBPP)
d) Kompleks Sukan dan Rekreasi Bertam (MBSP)
e) Kompleks Sukan dan Rekreasi SONY (MBSP)
f) Kompleks Sukan dan Rekreasi Jalan Betek (MBSP)
g) Balai-balai rakyat
h) Stadium Negeri Batu Kawan (PDC)

“Semua tempahan untuk sewaan kompleks sukan, stadium dan padang awam juga masih tidak akan diterima,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, tambah Lip Chee, taman rekreasi awam akan kekal ditutup, termasuk Taman Botani, Taman Bandaraya (Youth Park), Taman Metropolitan, empangan Air Itam dan empangan Mengkuang.

“Padang-padang awam seperti Padang Kota Lama dan Padang Polo (outdoor dan tidak berpagar), hanya aktiviti sukan secara individu seperti jogging dan aktiviti kecergasan ringan sahaja dibenarkan. Aktiviti sukan berkumpulan seperti bola sepak tidak dibenarkan.

“Sukan-sukan yang melibatkan sentuhan (Contact Sport) seperti bola sepak, ragbi, sepak takraw, bola keranjang, bola jaring adalah tidak dibenarkan.

“Sukan-sukan yang melibatkan aktiviti kumpulan seperti Zumba, senamrobik, Taici dan Qigong adalah tidak dibenarkan.

“Sukan yang dimainkan secara indoor seperti badminton, ping pong, penggunaan gymnasium, futsal, snuker & billiard, tenpin boling adalah tidak dibenarkan.

“Sukan-sukan air serta renang juga tidak dibenarkan. Semua kolam renang kekal ditutup.

“Aktiviti memancing secara rekreasi tidak dibenarkan.

“Sukan bermotor tidak dibenarkan.

“Aktiviti Hiking / mendaki bukit di dalam kawasan bukit / taman rimba / hutan simpanan dibawah seliaan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perhilitan adalah tidak dibenarkan selaras dengan arahan Kementerian Tenaga, Mineral dan Sumber Asli (KeTSA) di mana semua aktiviti ekopelancongan hutan disenaraikan di dalam senarai aktiviti yang dilarang.

“Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah seperti badminton dan tennis yang dimain dikawasan terbuka, jogging secara individu dengan penjarakkan sosial sejauh dua meter, berbasikal secara individu dengan penjarakkan sejauh sosial lima meter dan golf sahaja.

“Orang awam adalah dibenarkan untuk menggunakan taman-taman kejiranan dan Pocket Park yang berdekatan di kawasan perumahan masing-masing bagi aktiviti berjogging dan kecergasan ringan sahaja secara individu tanpa melibatkan aktiviti kumpulan dan dikehendaki mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter.

“Aktiviti sukan hanya terhad pada waktu siang daripada 7 pagi hingga 7 malam sahaja sepanjang fasa ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ di semua taman kejiranan dan Pocket Park.

“Orang awam yang menggunakan alatan senaman yang disediakan di taman kejiranan dan pocket park perlu mensanitasikan tangan sebelum dan selepas penggunaan. Orang awam juga tidak digalakkan untuk menggunakan alatan mainan dan senaman secara beramai-ramai.

“Orang awam yang tidak sihat dan mengalami gejala-gejala seperti demam, batuk dan selesema dilarang untuk mengunjungi taman-taman rekreasi dan padang awam,” katanya.

Di samping itu, kata Lip Chee, bagi program latihan atlet-atlet negeri yang akan mewakili negeri Pulau Pinang ke Sukan Malaysia ke-20 Johor (SUKMA 2020) dibawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, ianya akan dibenarkan permulaan latihannya secara berperingkat melibatkan dua fasa dimana Fasa Peringkat Pertama akan bermula pada 13 Mei 2020 dan Fasa Peringkat Kedua akan bermula pada 1 Jun 2020 berdasarkan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Pihak Kerajaan Negeri akan membuat mengumumkan dan mengemaskini maklumat aktivti-aktiviti sukan dengan pematuhan SOP dari semasa ke semasa tertakluk kepada keadaan penularan wabak Covid19,” ujarnya lagi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: