
SEKIRANYA ada permohonan secara rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Kementerian Belia Sukan yang meminta saingan Liga Malaysia kembali diteruskan, perkara itu akan diteliti kerajaan.
Sebelum ini, pihak kerajaan masih kekal dengan keputusan tidak membenarkan saingan Liga Malaysia diteruskan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sekalipun, tetapi prosedur operasi standard (SOP) sekarang masih diteruskan.
“Dari segi perhimpunan beramai-ramai berkumpulan, sukan berkumpulan misalnya masih lagi tidak dibenarkan.
“Kita akan tengok tarikh saingannya. Saya difahamkan liga akan bermula Jun. Tapi dalam masa satu atau dua bulan PKP ditamatkan masih terlalu awal untuk kita benarkannya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.
Cakap Sukan ada membuat hantaran di Facebook mengenai keputusan kerajaan tidak membenarkan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyambung saingan Liga Malaysia yang tertangguh sejak Mac lepas.
Ini kerana, bola sepak tidak boleh bermain secara berseorangan dan mesti ada pasukan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, hasrat itu akan dipertimbangkan namun pihak kerajaan akan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara tersebut.
Katanya lagi, jika PKP berakhir pada Jun, pertandingan pula diadakan Oktober atau November dan dilakukan dengan SOP tertentu seperti tiada penonton mungkin pihak kerajaan akan lihat semula.
Laporan tempatan sebelum ini mendedahkan beberapa negara seperti Korea Selatan, Itali dan Jerman yang mempunyai jumlah kes jangkitan Covid-19 lebih tinggi daripada Malaysia sudah mula memberi kelonggaran kepada aktiviti bola sepak profesional.
Add Comment