Uncategorized

Axle Motorsport, MAM anjur eRGP Causeway Edition

Alex Yoong

SELEPAS kejayaan penganjuran eRacing GP Southeast Asia (eRGP SEA) Global Edition yang turut menyaksikan ramai pelumba litar sebenar berentap dengan pelumba simulator, Axle Motorsport mengambil langkah memastikan eRacing terus berada pada kelasnya tersendiri.

Edisi kali ini yang dikenali sebagai Causeway Edition, akan menyaksikan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) tampil bekerjasama dengan Axle Motorspots bagi meneruskan kesinambungan kejayaan penganjuran ‘Lock Down Edition’ dimana ratusan pelumba seluruh Malaysia dan Singapura beradu kepakaran lumba simulator menerusi platform RaceRoom.

Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir amat teruja dengan penganjuran eRGP Causeway Edition.

“Ia adalah langkah yang bagus oleh pihak yang menganjurkan kejohanan eRacing. Apatah lagi ianya dikendalikan sendiri oleh bekas pelumba Formula 1. Alex sudah pasti akan menjadi kayu ukur buat penganjur yang lain.

“Syabas buat Alex dan pasukannya di atas penganjuran ini. Saya yakin seluruh peminat sukan ini tidak sabar untuk menyaksikan kejohanan ini nanti,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong mengambil peluang ini untuk meluaskan jenama eRGP SEA menerusi platform atas talian serta menjalin hubungan kerjasama dengan badan pengelola sukan permotoran Malaysia dan juga Singapura.

“Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Permotoran Malaysia di atas kebenaran untuk menganjurkan eRGP Causeway Edition yang sudah pasti memberikan kami keyakinan yang tinggi untuk meneruskan penganjuran ini.

“Dengan kehadiran ramai bintang baharu ke dalam perlumbaan simulator, kami tekad untuk menyediakan platform berkelas dunia untuk mereka mempamerkan kemampuan mereka.

“Kami menerima ratusan peserta setiap minggu yang berhempas pulas untuk melayakkan diri ke pusingan akhir. Untuk edisi kali ini, mereka akan menggunakan jentera Formula 4 iaitu Tatuus yang sama seperti perlumbaan sebenar di Eropah.

“Para pelumba juga akan berentap di empat litar terpantas dan mencabar antaranya Litar Brands Hatch, Litar Zandvoort, Litar Laguna Seca dan juga Litar Suzuka,” tambah Alex.

Pelumba terbaik berusia 18 tahun dan ke bawah dari Malaysia dan Singapura juga akan memenangi sesi ujian bersama pasukan go-kart, Stratos Motorsport.

Pengurus pasukannya, James Russel turut berbesar hati dengan penglibatannya kali ini

“Kami tahu dengan potensi para pelumba simulator dan amat percaya dengan kepantasan yang mereka miliki. Ia juga akan boleh diterjemahkan di atas litar sebenar dan kami berbesar hati untuk memberi mereka peluang seperti ini,” ujarnya.

Perlumbaan eRacing ini juga akan menampilkan pengulas yang tidak asing lagi iaitu Dez Corkhill serta Alex Yoong sendiri.

Aksi-aksi hebat para pelumba akan bermula pada setiap hari Ahad jam 2 petang bermula dari 26 April ini sehingga 17 Mei 2020.

Untuk rekod, Axle Motorsport akan terus mengorak langkah melebarkan sayapnya menerusi platform lumba simulator dengan penganjuran eRacing GP Sea Edisi Filipina yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

Hujung minggu ini juga turut akan menampilkan pusingan kelima dan keenam bagi saingan eRGP’s Global Edition yang membariskan pelumba terbaik Asia Pasifik berentap untuk meraih gelaran di podium.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: