Uncategorized

Liga Malaysia berkemungkinan dibatalkan, kepentingan kesihatan No 1

SEGALA kata putus mengenai perjalanan Liga Malaysia 2020 hanya akan diketahui minggu hadapan.

Dengan virus pandemik Covid-19 yang ‘menyerang’ tanah air, segala urusan dan aktiviti seluruh negara terpaksa dihentikan termasuklah kempen liga sejak bulan lepas.

Tidak pasti bilakah pertandingan akan kembali dijalankan kerana keputusan itu akan dibuat berdasarkan situasi semasa dan mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, mereka perlu melihat akta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan yang kini telah berlarutan hingga sebulan lebih.

“Kita perlu lihat pada awal akta PKP (perintah kawalan pergerakan) ini diadakan, kami telah membuat keputusan bersama rakan kongsi kami dan selepas berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan KKM.

“Kami membuat keputusan bahawa liga bukan hanya Liga Super dan Liga Perdana tetapi termasuk Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Malaysia…. dihentikan,” kata Hamidin yang dipetik dalam laporan Nadi Arena, semalam.

Badan induk bola sepak negara itu tidak menolak kemungkinan liga musim ini dibatalkan dan akan memulakan semula pada tahun 2021 sekiranya situasi bertambah buruk.

Jelas Hamidin, FAM telah mengeluarkan tiga surat pemberitahuan mengenai isu Covid-19 yang melibatkan liga.

“Saya kira kesemua ahli gabungan dan kelab telah memahami bahawa Rabu depan merupakan tarikh akhir untuk berbincang mengenai isu pemotongan gaji pemain.

“Saya memang ada pegawai daripada FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) yang akan memantau bersama dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), KKM mahupun MKN,” ujarnya yang menjelaskan FAM memantau perkembangan ini setiap hari dan pada minggu depan

Beliau berkata, FAM dan MFL akan mengeluarkan satu hala tuju selepas mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai saranan dan hala tuju yang diberikan oleh FIFA buat kesemua persatuan yang bernaung di bawahnya minggu lalu.

“Kami juga prihatin dengan kenyataan KKM minggu lalu, yang melarang aktiviti sukan bagi tempoh enam bulan sehingga setahun.

“Melihat kepada perkara ini, hampir pasti tiada perlawanan bersama penyokong sepanjang tahun ini,” katanya.

Ditanya apakah ada opsyen jika Liga Malaysia benar-benar tak dapat diteruskan lagi selepas September depan, Hamidin berkata, ia akan diumumkan pada minggu depan, dan tidak boleh mendedahkannya pada ketika ini.

“Mungkin ada dua atau tiga pilihan dan sudah pasti pilihan terakhir adalah membatalkan liga tahun ini.

“Sebagai presiden FAM, kepentingan kesihatan nombor satu dan bola sepak pada ketika ini di nombor dua,” tambahnya.

Ketika ini, aksi membabitkan saingan utama kempen Liga Super dan Liga Premier baru berlangsung empat perlawanan manakala Piala FA sudah memasuki fasa pusingan kedua.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: