Uncategorized

Deto mahu serah koleksi jersi The Red Ants kepada Muzium PKNS


Antara koleksi PKNS FC dalam simpanan Deto. Foto kredit : Fazlie Ahmad ‘Deto’

PENGGEMAR jersi bola sepak pasti bertuah jika mereka dapat menyimpan koleksi pemain idaman yang beraksi dalam liga tempatan yang menjadi perhatian peminat.

Bukan senang mahu mendapatkan jika tidak ‘rapat’ dengan pemain kerana jersi yang dipakai berkemungkinan sudah ‘di booking’ oleh penyokong lain yang mengikuti rapat perkembangan seseorang pemain.

Ataupun, koleksi jersi itu boleh diperolehi semasa di stadium jika pemain itu ‘melemparkan’ sebagai tanda hadiah ke arah penyokong bertuah pada sesuatu pertandingan khususnya aksi final.

Dan sudah pasti suasana berebut-rebut dapat dilihat dan ianya akan menjadi salah satu lensa yang dirakam pihak media dan jurufoto bertugas.

Fazlie Ahmad, peminat tempatan dari Pahang memiliki sejumlah jersi match worn yang cukup berharga dan tidak akan terjual serta didapati di kedai butik !

Dikenali sebagai Deto di kalangan pecinta sukan, dia banyak mengumpul jersi pasukan bola sepak PKNS FC yang pernah bersaing di pentas Liga Super dan Liga Premier.

Pada satu ketika, PKNS FC mara ke pentas akhir Piala FA ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Jelas Deto, koleksi jersi PKNS FC itu telah lama disimpan dalam almari dan kini sudah tiba masanya untuk diserahkan kepada pemilik baru.

Bagi tujuan itu, Deto memasang hajat untuk menyerahkan koleksi jersi The Red Ants kepada pihak Muzium PKNS.

“Banyak koleksi pemain saya simpan. Antaranya, Nazmi Faiz Mansor, Gabriel Guerra, Chan Vathanaka dan ramai lagi.

“Kebanyakan koleksi yang saya kumpul ada yang dari jenama Waga, Jking, Adidas, Kappa dan Lotto.

“Majoritinya adalah match worn dan yang paling berharga semestinya Final Piala FA 2016 (lawan JDT) dan Final Liga Futsal Kebangsaan 2011,” katanya yang pernah bergelar Pegawai Media PKNS FC.

Menurut Deto, Muzium PKNS akan dibuka di ibu pejabat yang baharu di Shah Alam.

“Semua sejarah ada kat situ, bukan setakat bola sahaja. Semua sekali.

“Dan pengunjung yang hadir boleh menatap jersi pemain PKNS yang saya akan serahkan kelak,” ujarnya.

Kini, tiada lagi kelibat pasukan PKNS atas padang bola dan telah menjadi bahan sejarah dalam lipatan peminat tanah air.

Ini kerana, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah menerima penggabungan PKNS FC sebagai ‘feeder club’ pasukan Selangor bagi mengharungi kempen Liga Malaysia musim ini.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan media telah menyatakan penggabungan PKNS FC telah dipersetujui oleh 47 ahli gabungan yang hadir pada mesyuarat Kongres Luar Biasa FAS yang berlangsung di Shah Alam, tahun lepas.

Mesyuarat itu memutuskan bersetuju untuk menerima PKNS FC sebagai ‘reserved team’ atau ‘feeder club’ pasukan Selangor.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d