Uncategorized

Kenyataan Asmirul tutup kesalahan sendiri : FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) ingin menafikan segala tuduhan dan dakwaan yang telah dilemparkan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), YB Asmirul Anuar Aris menerusi laman Facebook rasmi miliknya, awal pagi tadi.

Sebaliknya Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menyifatkan kenyataan YB Asmirul itu hanya bertujuan untuk menutup kesalahan pihaknya sendiri berkaitkan kelewatan pembayaran gaji pemain Kedah tetapi pada masa yang sama mahu menyalahkan pula pihak-pihak lain termasuk FAM.

“Terlebih dahulu ingin ditegaskan di sini bahawa FAM sentiasa berpegang dan berpendapat bahawa kebajikan pemain merupakan perkara pertama yang mahu dipertahankan iaitu mana-mana pasukan perlu terlebih dahulu menyelesaikan tunggakan gaji setakat bulan Mac 2020 sebelum mereka dibenarkan melakukan sebarang pemotongan gaji ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik COVID-19 ketika ini.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa pasukan-pasukan menghadapi masalah kewangan masing-masing tetapi ia merupakan situasi atau masalah di peringkat domestik yang mana mereka sendiri yang seharusnya bertanggungjawab dan tidak mengambil jalan mudah mengaitkan FAM dalam permasalahan tersebut,” katanya menerusi kenyataan rasmi sebentar tadi.

Menerusi kenyataan di laman facebook rasmi miliknya itu, YB Asmirul seolah mahu menyalahkan FAM dan MFL mengenai tunggakan gaji KFA dan memberi alasan bahawa pihaknya belum mengadakan perbincangan dengan para pemain Kedah disebabkan FAM dan badan pengendali Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) masih lagi belum menyediakan kata putus bilakah tarikh akan bermula kembali liga setelah bermesyuarat berkali-kali.

“Untuk makluman YB Asmirul, sebagai Setiausaha Kehormat KFA sudah tentu beliau telah menerima tiga surat pemakluman mengenai penangguhan disebabkan PKP ini dan satu surat pemakluman mengenai perancangan liga daripada pihak MFL, kesemuanya telah di-emel kepada setiausaha-setiausaha ahli gabungan dan kelab bertanding dalam Liga Malaysia 2020.

“Jika YB Asmirul sendiri tidak pasti, surat pertama adalah bertarikh 17 Mac 2020 mengenai arahan PKP iaitu antaranya melarang sesi latihan dan perlawanan persahabatan diadakan disusuli surat kedua bertarikh 25 Mac 2020 bagi menyatakan arahan PKP telah dilanjutkan ke fasa kedua iaitu sehingga 14 April 2020,” ujar Stuart.

Seterusnya katanya lagi, surat ketiga bertarikh 5 April 2020 iaitu pemakluman mengenai perancangan MFL yang mana isi kandungannya menyatakan bahawa beberapa alternatif telah dibuat bagi meneruskan kalendar bola sepak musim 2020; perancangan kalendar pertandingan MFL 2020 yang mana makluman terperinci akan diberikan sebaik kerajaan mengumumkan penetapan tarikh akhir PKP; saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana MFL akan meneliti garis panduan yang akan dikeluarkan nanti; gesaan supaya pasukan dan pemain mengadakan perbincangan berhubung status kontrak; serta jaminan bahawa para penaja Liga Malaysia 2020 akan terus kekal memberikan komitmen masing-masing.

“Sementara surat keempat pula bertarikh 10 April 2020 yang memaklumkan bahawa kerajaan telah melanjutkan PKP ke fasa ketiga iaitu sehingga 28 April 2020.

“Jadi persoalannya di sini, adakah berasas dakwaan yang dinyatakan oleh YB Asmirul dalam kenyataannya itu atau beliau sendiri sebenarnya yang tidak meneliti atau memahami isi kandungan surat-surat yang telah pun di-emel kepadanya itu?

“Kami di FAM dan juga di MFL pastinya akan bertindak segera sebaik saja kerajaan mengisytiharkan bahawa tempoh PKP sudah berakhir nanti untuk FAM dan MFL mengumumkan secara spesifik tarikh-tarikh pertandingan Liga Malaysia 2020 akan disambung semula” katanya lagi.

FAM enggan terburu-buru

Sementara itu, jelas beliau, pihaknya tidak mahu dilihat sebagai badan induk yang terburu-buru membuat sesuatu ketetapan terlalu awal kerana hal ini memerlukan perancangan teliti, perbincangan menyeluruh dan penelitian bersama banyak pihak supaya keputusan yang dibuat itu tidak diubah-ubah pula pada kemudian harinya, sekaligus nanti kredibiliti FAM pula yang akan dipersoalkan oleh YB Asmirul.

“Selain itu, YB Asmirul sebagai Setiausaha Kehormat KFA sebenarnya mempunyai saluran yang lebih tepat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati beliau.

“Malahan, kita juga mempunyai Whatsapp Group terdiri daripada setiausaha agung/kehormat setiap Ahli Gabungan FAM untuk berbincang dan bertanyakan sesuatu perkara yang mana saya tidak pasti sama ada YB Asmirul terlalu sibuk atau menganggap Whatsapp Group berkenaan tidak penting,” katanya.

Menurut kenyataan FAM itu lagi, pihaknya kesal dengan tuduhan dan dakwaan yang telah dilemparkan oleh YB Asmirul itu kerana ia hanya sekadar akan memberikan persepsi buruk umum kepada FAM, sedangkan apa yang dinyatakan beliau itu adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: