
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan dana kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin
Menurut kenyataan rasmi pihak KBS, dana yang akan disalurkan tersebut akan diserahkan melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai badan pemantau program pembangunan sukan pemotoran di negara ini.
“KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah memaklumkan perkara ini kepada Hafizh Syahrin mengenai kelulusan penyaluran dana bagi membantu menampung kos perlumbaan beliau bagi tahun 2020 pada awal Mac lalu.
“Bantuan seumpama ini adalah merupakan satu bentuk sokongan yang sentiasa dititikberatkan oleh KBS dalam apa jua pembangunan sukan termasuk sukan pemotoran yang boleh mengharumkan nama negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Untuk rekod, Hafizh merupakan pelumba Malaysia pertama bersaing dalam kelas perdana MotoGP pada 2018 dengan menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu, terpaksa bergelut pada musim lalu selepas bertukar kepada jentera KTM, yang menyaksikan beliau gagal meraih keputusan memberangsangkan.
Ekoran daripada itu, pasukan KTM Tech3 tidak meneruskan kontrak Hafizh bagi musim depan, sehingga memaksa kembali beraksi dalam kelas Moto2 bersama pasukan Aspar Team musim ini.
Add Comment