Uncategorized

Artikel bersifat fitnah,Matyo fail tindakan undang-undang di mahkamah


PENYERANG kelab BG Pathum United, Norshahrul Idlan Talaha yang juga pemain kebangsaan mengambil kesempatan untuk menjelaskan kepada umum berkaitan dengan penulisan artikel bahawa dirinya kini diwakili oleh dua agensi berbeza.


Jelasnya yang dikenali sebagai Matyo, artikel itu kononnya dirinya telah disaman oleh satu agensi Thailand dan telah dihalang untuk keluar dari Thailand.


Artikel itu telah tular dan telah dibaca oleh umum sejak ianya dilaporkan.


“Pertama sekali, saya dan keluarga kini berada di Thailand kerana saya perlu memberikan komitmen kepada kelab BG Pathum United untuk menghadiri latihan dan melakukan persiapan selaku pemain bola sepak seperti biasa.


“Tambahan lagi, sepertimana yang kita semua sedar, akibat daripada wabak COVID-19, kita semua terhalang dan terbatas untuk meninggalkan tempat atau kawasan sedia ada. Jadi tiada alasan untuk saya dan keluarga meninggalkan Thailand mengambil kira dua perkara di atas,” katanya menerusi kenyataan yang diterima cakapsukan.com sebentar tadi.


Menurut Norshahrul, beliau tidak pernah dihubungi oleh sesiapa sepertimana dilaporkan penulisan artikel berkenaan (bukan dari Cakap Sukan).


“Kedua, penting untuk saya nyatakan di sini bahawa saya tidak pernah dihubungi terlebih dahulu bagi tujuan memberikan klarifikasi terhadap perkara sepertimana yang telah dilaporkan sepertimana penulisan artikel tersebut.


“Saya ingin nyatakan di sini bahawa penulisan artikel tersebut adalah bersifat fitnah yang mana melalui pembacaan secara keseluruhan atau secara berperenggan atau secara berasingan adalah nyata tidak benar.


“Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa gaya, lenggok, olahan serta konotasi yang digunakan oleh penulis dan/atau penerbit adalah nyata berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan dan/atau tidak keterlaluan dinyatakan juga bertujuan untuk menghancurkan reputasi serta nama baik yang telah dibina oleh saya sebagai pemain bola sepak profesional,” ujarnya.


Selain itu, dalam kenyataan itu lagi, beliau menegaskan dan memandang serius serta memberikan tumpuan secara khusus terhadap insiden serta penulisan artikel tersebut.


“Saya telah berhubung dengan peguam yang dilantik mengenai perkara ini dan ianya adalah tidak adil dan selamat untuk mana-mana pihak membuat sebarang penulisan yang kemudiannya diterbitkan yang mana penulisan dan penerbitan tersebut mengandungi dapatan fakta dan informasi yang tidak tepat dan tidak terbukti kesahihannya.


“Selepas dinasihati oleh peguam, saya dengan ini mengambil keputusan untuk memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah,” kata Matyo lagi.


Jelas beliau, tindakan undang-undang yang akan diambilnya itu bukan berniat jahat atau untuk merendahkan mana-mana pihak yang berkaitan yang terbabit sebaliknya untuk melindungi dan mengembalikan nama baik serta reputasi Norshahrul.


“Saya berharap agar semua pihak untuk berhenti mengeluarkan cerita, berita atau sebarang penulisan mengenai saya melainkan ianya dibenarkan oleh saya atau peguam.


“Sebarang perkembangan berkaitan tindakan undang-undang ini akan dimaklumkan kelak,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d