
SIAPA sangka kanak-kanak comel yang dahulu hanya bermimpi untuk menjadi atlet hebat telah menempa kejayaan luar biasa sepanjang kariernya.
Itulah yang dialami bekas pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David yang berkongsi rahsia menerusi akaun Facebook rasminya baru-baru ini.
Pelbagai nikmat gelaran berjaya digondol Nicol hingga menaikkan nama Malaysia di pentas antarabangsa satu tika dahulu.
“Saya percaya bahawa di sebalik setiap senyuman ada mimpi.
“Semasa saya berumur enam tahun, impian saya adalah bermain skuasy sepanjang hari.
“Saya akan bangun setiap hari bermimpi berada di gelanggang skuasy dan berseronok bermain dengan adik saya.
“Saya bermimpi saya boleh mencapai apa-apa dan meletakkan senyuman terbesar di wajah saya,” kata Nicol.
Benar kata orang dulu-dulu, setiap kejayaan tidak akan datang bergolek sekelip mata dan harus berusaha keras bagi mencapainya.
Dan Nicol membuktikan apa yang diimpikannya selama ini benar-benar terjadi.
“Kita harus memberi diri kita peluang untuk bermimpi, melakukan apa yang kita cintai dan lakukan dengan semangat.
“Saya berjanji akan sentiasa menghadiahkan senyuman terbesar di wajah anda,” ujarnya.

Nicol memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu dunia, iaitu selama sembilan tahun, sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily, pada 2015.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sudah mengecapi kesemua kejuaraan, termasuk lapan kali bergelar juara dunia, selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.
Satu-satunya kekesalannya ialah skuasy belum diterima menjadi acara rasmi dalam Sukan Olimpik sepanjang kerjayanya selaku pemain.
Add Comment