Uncategorized

Kontroversi Glasgow Rangers & Felda United, dimana silapnya ?


Datuk Faizoull (tengah) pernah melawat Glasgow Rangers.

Pada 2014, FELDA telah terkait dengan kontroversi pembelian saham pemilikan bagi kelab bola sepak terkemuka dan paling berjaya di Scotland, Glasgow Rangers.

Apakah yang telah berlaku dan dimana silapnya?

Pada September 2014, sebuah akhbar tabloid di Scotland, The Daily Record mendedahkan bahawa Pengarah Besar FELDA ketika itu, Datuk Faizoull Ahmad telah dijemput ke Glasgow, Scotland bagi melawat Glasgow Rangers.

Beliau dan delegasinya dari Malaysia telah diberi layanan VIP oleh kelab sewaktu berada di Stadium Ibrox, kemudiannya melawat fasiliti latihan kelab di Murray Park serta dijamu makan tengahari di sebuah restoran eksklusif di bandaraya Glasgow.

Menurut kenyataan rasmi daripada jurucakap kelab Glasgow Rangers, lawatan Datuk Faizoull yang juga Presiden Kelab Bolasepak Felda United adalah bertujuan menjalin hubungan kerjasama dalam mewujudkan avenue bagi pemain-pemain muda di Felda United untuk menerima latihan dan pendedahan tentang aspek bolasepak dibawah kendalian jurulatih-jurulatih Glasgow Rangers.

Menariknya, Datuk Faizoull juga dikatakan berminat untuk mempelajari inisiatif penglibatan komuniti yang dilaksanakan oleh Rangers bersama masyarakat setempat di Glasgow yang merupakan penyokong mereka.

Ini boleh dikaitkan dengan usaha Felda United yang ketika itu bakal bermain di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Stadium tersebut masih lagi dibina ketika itu dan wujudnya keperluan untuk melibatkan komuniti peneroka disana bagi terlibat di dalam program-program kelab, selain daripada menghadirkan diri ke stadium sewaktu hari perlawanan.

Malangnya, kunjungan beliau tidak diterima baik bukan sahaja di Scotland malahan juga di Malaysia kerana beberapa faktor, khususnya kerana penglibatan seorang ahli perniagaan United Kingdom berketurunan Pakistan bernama Rafat Rizvi.

Siapakah Rafat Rizvi dan mengapakah beliau menjadi punca masalah?

Rizvi tidaklah asing buat penyokong Rangers. Rangers pernah menempuhi krisis kewangan yang amat buruk dan Rizvi adalah di antara ahli perniagaan atau persatuan yang rapat dengan personaliti-personaliti Rangers seperti Imran Ahmad yang dituduh bertanggungjawab terhadap krisis kewangan ketika itu.

Rafat Rizvi (kanan) terlibat tuduhan jenayah komersial sebuah bak di Indonesia.

Lebih serius lagi, Rizvi juga dikehendaki Interpol ketika itu atas pertuduhan jenayah komersial melibatkan sebuah bank di Indonesia.

Rizvi telah disifatkan selaku middleman atau orang tengah yang bertanggungjawab mengatur lawatan Datuk Faizoull ke Glasgow.

Setelah menerima reaksi negatif di Malaysia, termasuk dari ahli politik seperti YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Datuk Faizoull segera menidakkan perkara-perkara berikut.

Tujuan beliau kesana adalah untuk membeli saham pemilikan atau stake di Rangers dan lawatan tersebut diatur oleh Rizvi, dimana beliau menafikan pernah mengenalinya sebelum ini.

Perlu difahamkan, kedudukan Rangers pada 2014 bukanlah seperti hari ini kerana ketika itu, mereka sekali lagi terbeban dengan kemelut kewangan yang serius dan sedang menuju ke arah kejatuhan kewangan kedua dalam masa hanya beberapa tahun.

Ini juga tidak dibantu dengan ‘civil war’ di boardroom mereka dimana Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dilihat bersaing bagi menentukan pucuk pimpinan kelab.

Disebalik masalah dalaman mereka, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Lembaga Pengarah dalam meraih dana, terutamanya bagi membayar gaji staf dan pemain serta mengelakkan berlakunya insolvensi.

Kedatangan ‘pelabur asing’ seperti Datuk Faizoull tentunya amat dialu-alukan di saat genting yang sedang dihadapi oleh Rangers ketika itu.

Di Malaysia, isu ini turut dikritik kerana soal akauntabiliti terhadap keputusan pelaburan serta publisiti negatif yang dibawanya, khususnya apabila rakyat dilontar dengan persepsi seolah-olah ‘duit peneroka FELDA’ bakal dilaburkan untuk membeli saham di sebuah kelab bola sepak di Scotland.

Walaupun Daily Record mendedahkan bahawa benar-benar wujud minat dari delegasi Datuk Faizoull untuk membeli kepentingan ekuiti di Rangers, musim bola sepak 2014 berlangsung tanpa apa-apa berita yang menyusul sejurus selepas lawatan tersebut.

Kedua-dua kelab meneruskan musim mereka tanpa memeterai apa-apa perjanjian.

Bukanlah aneh bagi kelab-kelab bolasepak di Malaysia untuk menjalin kerjasama bersama kelab-kelab di Eropah. Namun, dalam kes FELDA ini, ia telah menimbulkan banyak ‘red flags’ dan persoalan.

Kelab Bolasepak Rangers yang gah di Scotland.

Mengapa kelab ‘bermasalah’ yang menjadi pilihan, sekiranya aspek pembangunan remaja dan penglibatan komuniti menjadi asas-asas penting kepada bentuk kerjasama yang hendak dijalin?

Jalinan kerjasama yang ingin dibina tidak memberi gambaran ‘Return of Investment’ dengan jelas, khususnya melihat kepada kedudukan kewangan Rangers yang amat meruncing ketika itu dan penglibatan seorang individu yang dipersoalkan kredibilitinya dan dikehendaki oleh pihak berkuasa.

Restu dan sokongan daripada peminat juga amat kritikal, khususnya bagi kelab yang mempunyai tradisi dan warisan yang begitu lama dan bersejarah seperti Rangers.

Apabila lawatan Datuk Faizoull didedahkan oleh The Daily Record, Rangers Union of Fans yang mengumpulkan kelab-kelab penyokong Rangers telah bersuara dalam mengeluarkan bantahan, dan mereka telah memainkan peranan mereka dengan jayanya.

Semoga kelab-kelab bola sepak di Malaysia belajar dari episod ini.

Nota : Artikel ini adalah nukilan daripada Marco Negeri untuk terbitan cakapsukan.com


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d