Uncategorized

Bincang secara dalaman

Shukor kini memimpin Kuala Lumpur dalam saingan Liga Premier 2020.

BEKAS kapten negara, Shukor Adan menggesa agar perbincangan mengenai kedudukan kewangan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia diadakan secara profesional dan tertutup.

Jelasnya, soal gaji pemain dan kedudukan kewangan pasukan eloklah dibawa berbincang secara dalaman, bukan dalam media atau media sosial.

“Semua pihak harus bertindak secara profesional dalam menangani isu ini. Dalam dunia korporat, sebarang bentuk potongan gaji atau bayaran bonus tidak dibincangkan secara terbuka,” kata tonggak Kuala Lumpur itu yang juga exco Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang menghidupkan semula persatuan itu pada 2013.

Shukor yang juga bekas pemain tengah Felda United, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, turut memberi amaran kepada pasukan agar tidak menjadikan pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk memotong gaji pemain secara melulu.

“Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk membayar gaji pekerja. Isunya kini adalah pemain sebenarnya bimbang COVID-19 ini dijadikan alasan untuk memotong atau melewatkan pembayaran gaji kepada pemain.

“Pemain sedar ada sesetengah pasukan yang sentiasa berdepan masalah membayar gaji. Ada juga pasukan yang masih berdepan masalah gaji tertunggak. Jadi pemain tidak mahu masalah ini kian membesar angkara COVID-19.

“Pemain bimbang sebenarnya jika ada pihak yang menangguk di air keruh.”

Bagaimanapun, Shukor menyarankan agar semua pihak – sama ada pemain, pengurusan dan jurulatih – berbincang secara telus dan terbuka tetapi secara dalaman tanpa perlu membuka pekung di dada sebagai usaha mencari penyelesaian atas persetujuan bersama.

Terdahulu, JDT dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya semalam menyatakan pemain, jurulatih dan kakitangannya bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33% dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: