
SIKAP tolak ansur yang ditunjukkan para pemain dan pegawai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) wajar dipuji kerana mereka memahami situasi dan keperluan semasa yang mana pengorbanan perlu dilakukan demi meringankan beban kelab selepas saingan Liga Malaysia 2020 ditangguh sejak 16 Mac lalu akibat COVID-19, selain membantu mereka yang terjejas dan memerlukan akibat wabak ini.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, FAM ingin mengucapkan tahniah kepada Kelab JDT kerana menjadi kelab atau pasukan pertama yang berjaya mencapai persetujuan bersama di antara kelab, pemain dan pegawai pasukan berkenaan bagi menangani situasi semasa berkaitan penularan wabak COVID-19.
“Sudah tentu FAM berasa gembira dengan tindakan positif yang ditunjukkan ini selepas FAM dan Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan media bersama pada Khamis lalu (26 Mac 2020) telah menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab terlibat untuk mengadakan perbincangan terbuka dengan para pemain dan pegawai bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.
“Dengan ini FAM sekali lagi berharap agar kelab atau pasukan lain serta para pemain mereka turut dapat mengadakan perbincangan terbuka dan mencapai satu keputusan bersama seperti dilakukan oleh JDT ini demi kita semua sama-sama menjaga kepentingan industri bola sepak di negara ini.
“Apa yang telah ditunjukkan oleh JDT ini merupakan contoh pengurusan terbaik sesebuah kelab dalam menangani permasalahan yang boleh dianggap sebagai isu global ini dan sudah tentu kredit perlu diberikan kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas usaha positif ini dan cara baginda menguruskan kelab secara keseluruhannya,” jelasnya menerusi kenyataan media yang disiarkan FAM, sebentar tadi.

Semalam menerus di Facebook JOHOR Southern Tigers, atas dasar perikemanusiaan ekoran penularan wabak COVID-19, para pemain, jurulatih dan kakitangan JDT bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33% dan mendermakan sebahagian daripada gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor.
Add Comment