Uncategorized

Penganjuran SUKMA Johor 2020 ditangguh ke tarikh baharu


Reezal Merican (tengah) ketika mempengerusikan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia hari ini.

Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan SUKMA Johor 2020 pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan tersebut mengambil kira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet-atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat dalam temasya tersebut.

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia secara sidang video hari ini untuk membincangkan mengenai penganjuran SUKMA Johor 2020 ekoran ancaman wabak COVID-19 yang melanda Malaysia kini.

“Sidang video tersebut telah disertai oleh semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang terdiri dari 14 Exco / Menteri Belia & Sukan Negeri (termasuk Johor selaku tuan rumah), Ketua Setiausaha Kementerian Belia & Sukan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara dan Sekretariat Sukan Malaysia Johor,” katanya dalam satu kenyataan media yang diterima cakapsukan.com hari ini.

Reezal Merican berkata, mesyuarat telah mengenalpasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke tahun 2021 setelah mengambilkira perkara-perkara berikut.

“Satu, pemantauan berterusan perkembangan wabak Covid-19.

“Kedua, tiada pertindihan dengan tarikh-tarikh penting yang lain seperti peperiksaan awam, acara-acara sukan utama dan meneliti serya mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh SUKMA Johor 2020, khususnya Negeri Johor sebagai tuan rumah,” katanya lagi.

Logo SUKMA Johor 2020.

Menurut beliau, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia juga bersetuju agar tarikh baru akan diputuskan secepat yang mungkin pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang akan datang, selewat-lewatnya pada awal bulan Mei 2020.

“Selari dengan itu, saya juga telah mengarahkan Ketua Pengarah MSN dengan kerjasama Sekretariat Sukan Malaysia Johor untuk membuat penelitian yang komprehensif dengan mengambilkira maklumbalas daripada semua pemegang taruh.

“Ia merangkumi aspek-aspek kelayakan dan persiapan atlet, implikasi ke atas aktiviti promosi, pemasaran, program-program pra-SUKMA, penajaan, branding, liputan media, persiapan logistik, kemudahan pertandingan sukan spesifik dan lain- lain aspek yang berkaitan untuk dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia akan datang.

“Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para SUKMA Johor 2020 untuk mengambil tindakan serupa untuk menangguhkan temasya tersebut yang dijadualkan selepas SUKMA Johor 2020,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan terkini Sukan Olimpik Tokyo 2020, beliau mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jepun selaku penganjur untuk menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo ke tahun 2021 mengambilkira situasi semasa Covid- 19 dan atas kepentingan yang paling utama iaitu untuk menjaga keselamatan dan kesihatan atlet, pegawai dan semua yang terlibat.

Dalam pada itu, katanya, KBS dan MOM akan bekerjasama rapat untuk meneliti implikasi-implikasi keputusan tersebut ke atas atlet-atlet dalam masa yang terdekat ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: