Isu gaji dan Covid-19, lebih baik duduk berbincang : Windsor

“Inilah masa terbaik untuk duduk dan berbincang.”

Itulah nasihat yang diberikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) Dato’ Windsor Paul mengenai isu gaji pemain bola sepak masa kini.

Menurut Windsor, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah membentuk pasukan petugas khas untuk meneliti perkara ini dengan garis panduan yang dijangka akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Tanggungjawabnya adalah mengenai kelab majikan, pemain dan wakil persatuan pemain untuk membincangkan perkara-perkara dan tidak mengeluarkan sebarang keputusan tanpa perundingan.

“Ia harus menjadi situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak, antara majikan dan pemain,” kata Windsor yang dipetik menerusi portal http://www.ssdhaliwal.com.my sebentar tadi.

Walaupun kelab di Eropah berada di fasa akhir liga mereka, di Malaysia keadaan agak berlainan.

“Jadi kedua-dua pihak perlu memahami satu sama lain dan tidak menuntut tuntutan yang tidak dapat dipenuhi.

“Sebagai contoh kelab menghadapi implikasi kewangan yang besar tanpa sebarang perlawanan yang dimainkan dan oleh itu kutipan pintu stadium sebagai pendapatan juga terjejas.

“Sebaliknya, para pemain juga mempunyai komitmen seperti keluarga, pinjaman dan perbelanjaan harian untuk digunakan,” ujarnya.

Windsor turut menasihatkan pihak kelab dan pemain agar lebih terbuka untuk menyelesaikan kebuntuan ini dan bukannya secara konfrontasi.

“Secara berkesan ia adalah kontrak antara kelab dan pemain, jadi hanya kedua-dua pihak boleh membuat apa-apa pindaan melalui lampiran yang dilampirkan kepadanya,” kata Windsor lagi.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk kebangsaan dan Pentadbir Malaysian Football League (MFL) perlu memainkan peranan berkesan dengan mendapatkan pandangan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) untuk duduk dan membincangkan perkara berkenaan.

“Kelab tidak mempunyai pendapatan dalam tempoh yang sukar ini dan pemain perlu memahaminya.

“Lebih baik duduk dan berbincang, dan tidak menghebohkan perkara-perkara ini kepada pihak umum.

“Selepas ini, semua kandungan kontrak adalah peribadi dan sulit,” katanya.

Windsor menambah, FIFA telah menyediakan garis panduan tersebut, dan kelab-kelab boleh menggunakannya sebagai ukuran untuk ruang perbincangan.

“Bagaimanapun, sebaiknya mereka harus memulakan perbincangan sekarang berbanding hanya tunggu,” kata Windsor.

Leave a Reply

%d bloggers like this: