Uncategorized

Isu tunggakan gaji melanda sejak musim lalu

Susulan pendedahan mengenai nasib pemain skuad Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan musim ini yang tidak dibayar gaji, Cakap Sukan turut diberitahu masalah yang menimpa pasukan pembangunan itu bukan isu baru sebaliknya berlaku pada tahun lalu lagi.

Nasib sama menimpa pemain dan pegawai pasukan The President Warriors musim lalu apabila hak mereka dinafikan oleh majikan sendiri.

Salah seorang individu yang berada dalam saf pegawai pasukan skuad Piala Presiden itu mengesahkan dia turut menjadi mangsa penganiayaan Kafa setelah tunggakan gajinya tidak dilunaskan sehingga ke hari ini.

Menurutnya, walaupun tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sudah bertukar tangan pada Julai tahun lalu, namun masalah tersebut tetap berlaku dan nampak seperti tiada jalan penyelesaian mampu dilakukan oleh barisan pentadbiran baru.

“Saya hanya terima gaji penuh mungkin tak sampai tiga bulan sahaja. Itu pun tidak dibayar tepat pada masanya dan bayar sikit-sikit.

“Saya pun tak tahu apa tindakan seterusnya pihak Kafa untuk selesaikan masalah ini. Yang saya boleh cakap sekarang, janji tinggal janji,” katanya yang enggan namanya didedahkan.

Jelasnya lagi, dia telah melaporkan masalah tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ia sememangnya berada dalam pengetahunan badan induk bola sepak kebangsaan itu.

“Saya simpati dengan nasib budak-budak (pemain), mereka ada mesej, mengadu kepada saya mengenai perkara ini tetapi apa saya boleh buat untuk bantu mereka ?,” soalnya.

Menurutnya, dia mencadangkan mana-mana pemain dan pegawai yang terpalit dengan masalah itu segera mengemukakan aduan rasmi kepada FAM.

“Saya sarankan mereka laporkan sahaja perkara ini kepada FAM. Biarlah FAM uruskan dengan Kafa di samping kita berdoa semoga isu tunggakan gaji diselesaikan dengan cepat.

“Saya telah bercakap dengan (pegawai) bahagian perundangan (di FAM) dan saya harap mereka mengambil tindakan sewajarnya dan tidak berkompromi terhadap persatuan yang membuat onar seperti ini,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: