Uncategorized

FAM mula siasat tunggakan gaji pasukan Piala Presiden dan Piala Belia

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mula menyiasat isu tunggakan gaji membabitkan para pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, ketika ini pihaknya memantau perkembangan pasukan utama Liga Malaysia.

“Fasa satu dahulu pada ketika ini. Cuma, kami tetap memantau seperti apa yang berlaku kepada pasukan pembangunan yang bermain di Piala Presiden dan Piala Belia,” kata beliau kepada cakapsukan.com yang diminta mengulas isu tunggakan gaji pemain remaja Kelantan yang tular di laman media sosial semalam.

Cakap Sukan melaporkan tidak sampai beberapa perlawanan liga berlangsung, sudah kedengaran suara sumbang melibatkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Bukan melibatkan skuad utama Kelantan, tapi membabitkan 51 pemain Piala Belia dan Piala Presiden Kelantan yang mendakwa belum menerima bayaran gaji.

“Pemain yang terlibat (dakwaan tunggakan gaji) harus mengemukakan aduan berserta bukti kukuh secara rasmi kepada pihak FAM.

“Kami tak boleh menjalankan siasatan selagi pemain sendiri tidak tampil buat laporan.

“FAM juga tidak melayan sebarang luahan pemain di laman sosial. Harus ikut prosedur yang betul dan ditetapkan,” tegas Stuart.

Jelas beliau, aduan para pemain boleh dibuat menerusi saluran rasmi Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Kita ambil dan terima aduan daripada pihak yang dikemukakan melalui PFAM,” katanya lagi

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan pemain belia Kelantan hanya dibayar elaun dan bukannya berbentuk gaji, Stuart tetap mahu pasukan berkenaan melunaskannya.

“Elaun juga adalah hak pemain‚Ķapatah lagi gaji bulanan. Cuma kita akan meneliti kontrak asal yang ditandatangani antara pemain dan majikan.

“Elaun harus dibayar. Saya ingin ingatkan bahawa pemain belia adalah skuad pembangunan pada masa depan.

“Jangan biarkan mereka terasa seperti tiada apa-apa. Mereka adalah aset untuk skuad utama pasukan masing-masing nanti.

“Persatuan perlu jaga betul-betul pemain anda dan pastikan kebajikan terjaga,” ujarnya.

Beliau juga tidak mahu mendengar ada lagi pasukan lain yang alami masalah sama seperti pasukan remaja Kelantan.

Dalam kenyataan media FAM yang dikeluarkan pada 3 Februari lalu, fasa kedua ini juga akan memberi perhatian kepada tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Katanya, FAM bukan terlepas pandang perkara ini tetapi perlu menyelesaikan semua masalah mengikut peringkat dan keutamaan terlebih dahulu.

Untuk itu, FAM terpaksa mengambil langkah berperingkat menyelesaikan masalah tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan Liga Super dan Liga Premier sebelum memfokuskan kepada fasa kedua membabitkan tunggakan dengan agensi-agensi kerajaan serta pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: