Uncategorized

Aspek keselamatan, kesihatan atlet dan pegawai sukan diutamakan


Reezal Merican Naina Merican 📸 Bernama

“Saya mengambil maklum berkaitan pendirian Majlis Olimpik
Antarabangsa (IOC) yang telah menyatakan komitmen mereka untuk
bersama-sama Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020
untuk meneruskan penganjuran mengikut jadual.

Demikian kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan media susulan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, walaupun pendirian tersebut telah mendapat reaksi pelbagai pihak, namun masih belum ada kepastian dan keputusan yang muktamad tentang
status penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya juga mengambil maklum bahawa IOC telah mengadakan satu
sesi video-conferencing baru-baru ini untuk mendapat pandangan
dari 45 buah negara benua Asia melalui National Olympic Committee
(NOC) masing-masing, dimana Malaysia telah pun diwakili oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang merupakan ahli gabungan IOC.

Di akhir sesi tersebut, kesemua 45 negara termasuk Malaysia telahpun menyokong keputusan IOC untuk meneruskan
penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual buat masa kini,” katanya.

Tambah Reezal Marican lagi, pihaknya juga telah dimaklumkan oleh Presiden MOM bahawa undian sokongan tersebut adalah tertakluk kepada beberapa syarat.

“Antaranya, pihak IOC akan berusaha membuat perubahan yang adil dalam proses kelayakan atlet-atlet.

“Kedua, aspek kesihatan dan keselamatan atlet dan pegawai menjadi kepentingan
utama dan juga semua pihak terus memantau perkembangan terkini ancaman Covid-19 dari semasa ke semasa,” katanya.

Di samping itu katanya, IOC yang secara keseluruhannya mempunyai 206
negara sebagai ahli gabungan perlu dan akan mendapat pandangan majoriti sebelum membuat keputusan muktamad.

“Walau bagaimanapun, saya percaya IOC dan semua negara anggota akan mengambil langkah yang wajar dengan mengambilkira pandangan dan cadangan WHO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya pandemik global COVID-19 ini menjadi lebih serius dan tidak terkawal.

“Saya memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan
sentiasa bekerjasama untuk memastikan soal dan aspek keselamatan dan kesihatan atlet negara dan pegawai diberi keutamaan yang tertinggi sebelum keputusan muktamad dibuat nanti berhubung dengan penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan
Olimpik Tokyo 2020,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d