Uncategorized

Sulaiman dilantik Presiden baharu MUSA


KETUA Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md. Ali dilantik secara rasmi sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bagi menggantikan bekas presiden Damian Yeo Shen Li.

Sulaiman menjawat jawatan Ketua Menteri selepas ketidaktentuan politik di Putrajaya yang memberikan kesan ke beberapa negeri termasuk Melaka.

”Saya akan melihat semula struktur MUSA, selepas dilantik secara automatik menjawat jawatan Presiden badan induk bola sepak negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas Sulaiman, memandangkan perlembangaan MUSA meletakkan individu yang dilantik menjawat jawatan Ketua Menteri, dia akan memastikan segalanya yang melibatkan kebaikan negeri menerusi pasukan Melaka United (MU) terjaga.

Sulaiman juga bertuah kerana mempunyai dua individu dalam MUSA yang cukup berpengalaman luas dalam menyelia tadbir badan induk negeri itu.

Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi adalah Timbalan Presiden MUSA manala Noor Azman Rahman merupakan Naib Presiden MUSA yang baru dilantik pada Januari lepas.

Kedua-dua mereka juga menjawat jawatan penting dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Buat masa ini, sayalah Presiden MUSA. Saya akan melihat semula struktur MUSA itu sendiri, mereka (pengurusan MUSA) akan maklumkan kepada saya serta memberi penerangan serba sikit mengenai kewangan MUSA dan sebagainya,” katanya lagi.

Sementara itu, Sulaiman berkata beliau menggalas satu amanah berat sebagai presiden MUSA kerana sukan bola sepak ini merupakan sukan yang diberi perhatian yang serius oleh rakyat di negeri ini.

“Jika saya terus memegang jawatan ini, saya akan terus memimpin pasukan bola sepak ini demi kebaikan negeri,” ujarnya.

Beliau menggantikan Damian yang menjawat jawatan itu sejak 1 November lalu setelah mantan Ketua Menteri, Adly Zahari meletakkan jawatan pada hari yang sama.

Kelmarin, Damian mengadakan perjumpaan bersama Sulaiman bagi sesi perbincangan mengenai pasukan bola sepak Melaka United (MU) tersebut.

Dalam perbincangan itu, Sulaiman memberi ruang kepada Damian untuk bekerjasama dalam arena bolasepak itu asalkan membawa kebaikan kepada Negeri Melaka.

Prestasi terkini Melaka United juga memberangsangkan apabila berada di kedudukan ketiga CIMB Liga Super Malaysia selepas empat perlawanan dan mengutip enam mata.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: