Uncategorized

Zaquan mahu peminat bersabar

PENYERANG Kedah, Zaquan Adha Abdul Razak berharap semua peminat bola sepak tempatan dapat terus bersabar menantikan semula saingan Liga Malaysia dan meneruskan sokongan tanpa henti walaupun kini terpaksa berdepan penularan wabak COVID-19.

Zaquan tidak menolak rata-rata penyokong akan merindui saingan Liga Malaysia yang kini ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu dan semua pasukan juga tidak dibenarkan mengadakan latihan selama dua minggu ini.

Sudah pasti, situasi yang berlaku ketika ini merencatkan keghairahan penyokong apabila saingan liga yang sudah bermula dengan meriahnya terpaksa ditangguh serta-merta namun pemain berusia 33 tahun itu mengingatkan apa yang paling mustahak adalah semua pihak menghadkan pergerakan dengan kekal berada di rumah.

“Dalam keadaan sekarang ni, kita tidak boleh nak agak macam mana agaknya situasi ini akan berakhir tetapi sudah pasti saya sebagai pemain memang tidak sabar nak sambung latihan balik.

“Apatah lagi penyokong sendiri pun saya rasa memang tak sabar nak tengok perlawanan balik tetapi kita dalam masa yang sama perlu berjaga-jaga dalam keadaan yang bahaya sekarang ini.

“Untuk penyokong, nak tak nak kena berkorban daripada tengok bola dan bersabarlah dengan tempoh masa ini dan saya percaya tidak lama lagi kita akan kembali seperti dulu,” katanya.

Zaquan ketika ini hanya menghabiskan masa di rumah bersama keluarga tatkala perancangannya untuk pulang ke kampung halaman juga terpaksa dilupakan demi memikirkan keselamatan semua pihak.

Baginya, beliau ambil positif situasi yang sedang berlaku ketika ini untuk mengambil peluang menikmati masa yang terluang selain turut melakukan aktiviti riadah di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasan sebelum kembali berlatih bersama pasukan, bulan hadapan.

“Saya sekarang ini lebih fokus kepada keluarga di rumah dan melakukan aktiviti bersama anak-anak dan isteri sebab nak balik kampung pun tidak boleh.

“Tapi saya sebagai pemain memang kena keluarkan peluh juga dan untuk itu, saya tetap melakukan senaman dan aktiviti ringan di rumah asalkan dapat berpeluh sebab takut berat badan naik.

“Kita ambil positif sahaja apa yang berlaku ini dan setidak-tidaknya kita dapat gunakan masa yang ada ini untuk bersama keluarga dan saling menjaga kesihatan,” tambahnya.

Semua pasukan Liga Malaysia ketika ini tidak dibenar melakukan sebarang latihan sehingga 31 Mac sepertimana yang telah diputuskan oleh Kerajaan Malaysia untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: