Uncategorized

Tiada alasan abai kecergasan

Brendan tetap mengikuti segala program yanh dirancang pengurusan . (Foto : FB FAS)

PEMAIN tengah Selangor, Brendan Gan menganggap tiada alasan untuknya mengabaikan tahap kecergasan fizikal walaupun pasukan tidak dibenarkan menjalani sesi latihan dalam tempoh dua minggu kawalan pergerakan susulan penularan wabak COVID-19.

Jelasnya, aspek penjagaan pemakanan dan kecergasan diri menjadi keutamaan dalam diri seorang pemain bola sepak walaupun tidak dibenarkan melakukan aktiviti luar dalam tempoh dua minggu ini.

Justeru, walaupun berada di rumah, beliau tetap mengikuti segala program yang telah diatur oleh barisan kejurulatihan bagi memastikan momentum tidak terjejas teruk dan yang paling penting adalah untuk kekal sihat sebelum saingan Liga Malaysia bersambung kembali.

Sudah pasti, situasi yang berlaku ketika ini dianggap cukup berbeza sepanjang dalam kariernya apatah lagi dia dan rakan sepasukan sudah terbiasa menjalani latihan pada setiap hari.

“Kita semua sedang melawan wabak COVID-19 ini dan sudah semestinya ia merupakan perkara sangat serius yang sedang berlaku di seluruh dunia.

“Apa yang penting, kita perlu ikut setiap arahan yang telah dikeluarkan dan saya sendiri akan kekal berada di rumah kerana bagi saya kesihatan adalah yang paling penting bukan sahaja untuk keluarga sendiri tetapi kepada orang sekeliling juga.

“Sememangnya bukan mudah sebenarnya buat saya sebagai pemain untuk berada di rumah sahaja kerana sudah biasa berlatih setiap hari di padang tetapi kami ada program yang telah disusun dan kami tetap akan mengikuti segala program itu di rumah untuk kekal cergas,” katanya.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam telah mengeluarkan garis panduan kepada setiap pasukan Liga Malaysia selaras dengan arahan perintah kawalan pergerakan akibat wabak Covid-19 sepertimana yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan Malaysia.

Justeru, semua pasukan dilarang melakukan latihan dan perlawanan persahabatan, manakala pemain import pula tidak dibenarkan sama sekali meninggalkan negara ini dan terakhir sekali adalah agar semua pasukan dapat mengawal pergerakan mereka dengan sebaiknya dalam tempoh dua minggu ini.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: