Uncategorized

Bukan soal padang, Kelantan tidak beraksi bagus


Penyerang import Kelantan, Felix Odili menjaringkan satu gol namun gagal membantu pasukannya meraih kemenangan setelah tunduk 1-2 kepada TFC II pada aksi Liga Premier di Kuala Terengganu, malam tadi. Foto Kelantan FA

Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mengakui faktor padang bukan menjadi punca pasukannya tewas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC) II pada kempen Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Meskipun mengakui kurang berpuas hati dengan kualiti permukaan padang di stadium berkenaan, namun dia tidak mahu ia dijadikan alasan sebagai kekalahan pertama pasukannya, pada saingan musim ini.

Pada masa sama, pengendali itu bagaimanapun berharap pihak berkepentingan lebih menitik beratkan aspek permukaan padang seandainya mahu menjadikan pertandingan liga itu lebih berdaya saing.

“Pada pengamatan saya, kita berhak tewas dan tahniah kepada TFC II kerana mencipta kemenangan seterusnya. Cuma apa yang boleh disimpulkan, permukaan sesuatu padang saya rasa perlu diambil kira, mungkin keselesaan ini kepada pihak tuan rumah.

“Saya rasa bukan jurulatih pertama berkata demikian, saya masih ingat B Sathianathan (jurulatih Selangor) bercakap perkara sama mengenai stadium ini,” katanya pada sidang media pasca perlawanan.

Pada pertemuan tersebut, Kelantan terlebih dahulu di depan menerusi Felix Odili (m-31) namun kelebihan itu tidak bertahan lama selepas Jordan Mintah menyamakan kedudukan, dua minit kemudian.

Pemain muda tuan rumah, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-62 sekali gus membolehkan skuad kendalian Roshadi Wahab meraih kemenangan keempat berturut-turut untuk berada di puncak liga.

Mengulas lanjut kekalahan tersebut, dia mengakui barisan pemainnya tidak bermain mengikut perancangan sepatutnya, pada pertemuan dua jiran tetangga itu.

“Itu salah satu perkara yang patut dihindari pemain saya tapi kegagalan (menangani) suasana kelam kabut, dalam keadaan begitu seharusnya pemain lebih tenang bukannya tergopoh gapah melakukan sebarang tindakan.

“Begitu juga gol kedua, sepatutnya tidak dilepaskan kerana jika dinilai pertemuan malam ini, semua setuju permainan agak seimbang walaupun saya akui Kelantan bukanlah beraksi mengikut perancangan tapi bagi saya nasib lebih kepada TFC II untuk meraih kemenangan,” ujarnya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d