Uncategorized

Boleh kritik saya tapi bukan bersifat perkauman


B SATHIANATHAN 📸 Stadium Astro

SELEPAS memikir semasak-masaknya, akhirnya pengendali skuad Merah Kuning, B Sathianathan membuat laporan polis berhubung isu perkauman yang dilemparkan terhadapnya.

Pagi tadi, jurulatih Selangor itu ditemani oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Rauf Ahmad hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Selepas selesai laporan dibuat, Sathianathan dihampiri pihak media untuk mendapatkan reaksi balas.

“Tujuan saya buat laporan polis ini adalah berdasarkan catatan di laman sosial Facebook yang menulis perkataan kesat dan tidak sopan terhadap saya.

“Saya sebagai ahli dalam bidang sukan tak nak lagi dengar sebarang kenyataan yang dikeluarkan bersifat agak rasis.

“Laporan ini juga untuk melindungi pemain sukan bola sepak…kita bimbang ada peluang mereka bermain bola langsung tak ada disebabkan isu perkauman. Kita nak jaga imej bola sepak negara,” jelas Sathianathan.

Diminta mengulas adakah terdapat serangan berbentuk peribadi, Sathianathan tidak menafikan perkara itu.

“Memang ada serangan peribadi. Ada yang kata saya kena balik India. Join LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam). Ada yang tak tahu. LTTE ini bukan dari India tapi Sri Lanka.

“Betul, saya tak boleh ambil (lihat) ia secara peribadi tetapi ini akan menjadikan sedikit kurang keyakinan diri.

“Untuk saya cemuhan atau kritik berkaitan prestasi permainan itu biasa.

“Tetapi, jangan bawa isu perkauman. Tentang taktik saya, salah lain dan lain-lain saya boleh terima tetapi janganlah keluarkan perkataan yang berkaitan perkauman,” katanya turut kesal penggunaan bahasa kesat oleh segelintir individu.

Sementara itu, Sathianathan menyambut baik langkah pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) yang menangguhkan sementara saingan Liga Malaysia 2020 berikutan virus COVID-19 yang melanda negara.

“Satu tindakan baik dari MFL dan FAM. Bola sepak dunia dah buat awal (bermain tanpa penyokong dan tangguh perlawanan). Apa yang lebih penting disini adalah kesihatan para pemain dan penonton,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Rauf memberikan komen isu rasis sepatutnya boleh dielakkan dan FAM katanya, telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

“Kami sebagai rakan exco dan bekas pemain tidak putus bagi sokongan moral kepada Sathianathan.

“Ia perlu dihentikan segera isu perkauman malahan Raja Muda Selangor juga ambil berat isu ini, ” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d