Uncategorized

Yusri akui tugas getir hadapi TFC II


Yusri akui cabaran besar menanti Kelantan apabila berdepan pendahulu Liga Premier, TFC II di Kuala Terengganu, malam ini.

Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mengakui ujian getir menanti pasukannya untuk memburu mata apabila berdepan Terengganu FC (TFC) II pada saingan Liga Premier di Kuala Terengganu, malam ini.

Yusri berkata, pasukan berstatus kelab yang dibimbing Roshadi Abd Wahab itu tampak konsisten selepas mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan sekali gus menerajui carta liga, ketika ini.

“Seperti saya kata, tak ada jalan mudah dalam Liga Premier jika lihat semua pasukan musim ini kebanyakkannya berusaha lebih daripada pasukan Liga Super.

“Kalau kita lihat ramai pemain (daripada Liga Super) turun beraksi di Liga Premier dan liga ini lebih berdaya saing kerana kita sedia maklum taraf pemain-pemain itu cukup tinggi,” jelasnya.

Pada masa sama, pengendali kelahiran Perlis itu mengakui bergelut dengan masa bagi mempersiapkan pasukannya berikutan perlu mengharungi jadual padat.

Percaya semua pasukan lain juga berdepan situasi sama, Yusri bagaimanapun kekal tenang sambil mengharapkan barisan pemainnya menampilkan persembahan bertenaga pada pertemuan jiran tetangga itu.

“Saya lihat perkara (kesuntukan masa) ini kerana jurang masa dan pemain kita agak berusia. Kita perlu sedaya-upaya menggunakan tempoh rehat dua hari ini.

“Mungkin kita perlu bergerak (ke Kuala Terengganu) lebih awal untuk mendapatkan rehat yang cukup,” jelasnya.

Kiambi menjadi harapan Kelantan bertemu TFC II setelah penyerang import dari Namibia ini menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan lalu. Foto Kelantan FA

Mengulas harapan terhadap Lazarus Kiambi untuk pertemuan itu, Yusri berharap penyerang import dari Namibia itu kekal konsisten selepas meledak dua gol dalam dua perlawanan lalu.

“Saya rasa dia belum cukup (prestasi) 100 peratus kerana hadir dalam tempoh cukup singkat cuma pengalamannya dalam (bermain) Liga Super, dia gunakan dalam saingan liga ketika ini, itu yang saya nampak,” ujarnya lagi.
.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d