
Wakil negara, Mohammad Wafiyuddin Abdul Manaf muncul pemain terbaik Malaysia di pusingan pertama Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2020 di Kelab Golf dan Country Kota Permai, Shah Alam, semalam.
Ia merupakan satu permulaan yang memberangsangkan buat pemain berusia 28 tahun itu yang membenam lima birdie dan satu eagle selepas melakukan empat bawah par 68 untuk menduduki tempat ke-13 berkongsi bersama empat pemain lagi sebelum permainan ditangguhkan berikutan cuaca buruk.
“Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan permainan dia memberi keyakinan kerana saya.
“Malah, peluang bermain dan berlatih di lapangan ini minggu lepas banyak membantu saya. Saya sangat selesa beraksi di sini,” katanya yang tidak menyertai pertandingan sejak tiga bulan yang lalu.
Pemain Australia Andrew Dodt melakukan sembilan bawah par 63 untuk mendahului pusingan pertama dengan kelebihan dua pukulan mengatasi juara bertahan Asian Development Tour (ADT) Order of Merit 2019, Naoki Sekito dari Jepun.
Sementara itu, Nicholas Fung yang mengekori rapat di belakang Mohammad Wafiyuddin, selepas melakukan tiga bawah par 69, diikuti Shahriffuddin Ariffin, Fakhrul Akmal dan Ben Leong yang melakukan dua bawah par 70.
Untuk rekod, kejohanan ini menawarkan hadiah kemenangan US$1 juta (RM4.181 juta).
Hanya 65 daripada 156 pemain akan mara selepas pusingan kedua hari ini, dalam usaha merebut gelaran juara Terbuka Malaysia 2020, yang kembali selepas empat tahun tidak dianjurkan.
Add Comment