Uncategorized

Sibuti Bavarian’s jangan cepat berpuas hati

“Jangan leka dan cepat berpuas hati. Masih banyak aspek yang perlu lagi diperbaiki.”

Itu kata Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Sibuti Bavarian’s FC (SBFC), Mohd Hakimi Man selepas pasukan kendaliannya membelasah 10 – 0 RG4 Junior Sibu pada saingan Liga Bola Sepak Sibu Bawah 21 Tahun, semalam.

Pada perlawanan yang jelas berat sebelah dari segi mutu permainan, SBFC langsung tidak membenarkan lawan memperoleh jaringan saguhati.

“Apa yang positif adalah kita menang dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol. Apa yang negatif adalah kita banyak mempersia-siakan peluang yang diwujudkan.

“Gerakan yang tersusun dan corak permainan yang sistematik diterjemahkan di atas padang masih perlu ditingkatkan lagi,” ujarnya kepada CakapSukan.Com.

Sekalipun memenangi perlawanan, Mohd Hakimi berulang kali mengingatkan para pemain supaya kekal konsisten dan tidak leka dengan pujian.

“Apa yang pemain perlu ingatkan, semat rapi dan capai adalah penanda aras yang kita gariskan. Kita perlu melihat satu tahap ke atas dan ketika pemain muda ini bersama saya mereka perlu berkerja keras dan diingatkan apakah tuntutan yang diperlukan untuk menjadi pemain bola sepak,” tegasnya.

Bagaimanapun, dia memberitahu kejayaan tidak akan datang dengan segera dan banyak halangan yang harus diatasi sebelum berjaya.

“Itulah antara kelebihan yang kita ada setelah puas berkelana ke sana dan ke sini. Mengilap potensi pemain muda ini ada rempah ratusnya…tidak semudah yang disangka.

“Ianya begitu subjektif dan perkara yang perlu diketahui adalah keserasian di antara pemain-jurulatih…ini amat penting,” katanya lagi.

Pada aksi itu, Ahnaf Danish Farihin Ahmad melakar hatrik menerusi jaringan minit keempat, m64 dan m69 manakala Khaizuran Zulhilmi Taib menyumbat dua gol m36 dan m50.

Lain-lain gol dijaringkan oleh Harith Danielle Abdullah (m22), Stanley Joeman Paran (m26), Aiman Naim Ramjee (m29), Shaimond Lian Lileng (m66) dan Thompson Anak Thomas Ubong (m89).

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: