English College raih gelaran sulung MCKK Premier 7s

Pasukan Maktab Sultan Abu Bakar (English College) mencipta kejutan tersendiri selepas muncul juara kejohanan ragbi MCKK Premier 7s edisi 2020 buat kali pertama selepas menewaskan pasukan pilihan, Sekolah Sultan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Kuala Kangsar hari ini.

EC berjaya merekodkan kemenangan dramatik 15-12 ke atas SSTMI sekali gus menjulang trofi berprestij, NJ Ryan buat kali pertama sejak kejohanan ragbi peringkat remaja itu diperkenalkan pada edisi 2011.

Ketua jurulatih skuad ragbi EC, Abdul Hanis Mokthar berkata, persiapan rapi sejak awal tahun ini telah membuahkan hasil meskipun pada awalnya pasukannya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi selain lebih gemar dengan status underdog.

“Saya akui berpuas hati dengan kejayaan barisan pemain menjuarai Kejohanan MCKK Premier 7s sekali gus menjulang trofi NJ Ryan buat pertama kali.

“Secara jujur, ia bukanlah keputusan yang mudah untuk dicapai terutama apabila kami berdepat tugas sukar di peringkat akhir menentang SSTMI yang diketahui memiliki kelebihan fizikal.

“Malah, diperingkat separuh akhir pun agak sukar untuk pasukan pada awal saingan sebelum berjaya meraih kemenangan 17-0 ke atas Sekolah Sri Mersing.

“Saya akui ada mengubah sedikit taktikal dengan mengarahkan pemain menggunakan kelebihan daripada segi kepantasan selain menguatkan benteng pertahanan.

“Mereka mendengar segala arahan yang diberi dan bermain tanpa tekanan sekali gus meraih kemenangan bersejarah buat pasukan,” kata Abdul Hanis.

Sementara itu, pemain muda EC, Mohd. Ridzuan Haikal berjaya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan sekali gus membawa pulang Trofi Zaharuddin Alias pada edisi kali ini.

“Saya bersyukur apabila dinobatkan pemain terbaik tetapi pujian harus diberikan kepada jurulatih dan rakan-rakan sepasukan yang sentiasa bekerja keras sepanjang kejohanan ini.

“Saya berpendapat kunci kejayaan kami adalah apabila pemain dapat menerapkan semangat juang tinggi khususnya di pentas akhir yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal,” kata Ridzuan yang berusia 17 tahun itu.

Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Turut hadir pada upacara tersebut adalah Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Terdahulu, juara edisi 2019, Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) meraih tempat ketiga tahun ini selepas menewaskan Sekolah Sri Mersing 19-12 pada aksi penentuan tempat ketiga/keempat.

Sementara itu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn berjaya merekodkan kemenangan untuk kategori Plate dengan menafikan cabaran Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak dengan keputusan 19-14.

SMK Sultan Sulaiman pula meraih gelaran juara bagi kategori Bowl dengan menewaskan Sekolah Sultan Alam Shah 29-14.

Untuk kategori Shield, SMK Sultan Yahya Petra 1 tidak mempunyai masalah untuk bergelar juara apabila mudah mendominasi perlawanan akhir dengan kemenangan 26-5.

Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s ini turut mendapat perkenan di bawah DYMM Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah. Baginda juga amat mencintai sukan ragbi dan merupakan Penaung Diraja Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

STMI telah merangkul gelaran Kejohanan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 2011, 2012, 2016 dan 2017, manakala pemenang lain ialah MCKK (2013), Scots College New Zealand (2014), Sekolah Sukan Hong Kong (2015) dan SMK Sri Mersing (2018).

KEPUTUSAN PENUH:

CUP FINAL – EC 15-12 SSTMI

3rd/4th – SMSM 12-19 SEMASHUR

PLATE FINAL – INTEGOMB 14-19 THOR

BOWL FINAL – SAS 17-29 ART

SHIELD FINAL – SYMP1 26-5 KSAH

ZAHARUDIN ALIAS TROPHY (PEMAIN TERBAIK) – Mohd Ridzuan Haikal Mohd Rais

Leave a Reply

%d bloggers like this: